Sesat empat hari, pemandu trak kerepek kentang tetap tak sentuh muatan

Agensi
April 30, 2018 21:05 MYT
Cartwright langsung tidak menyentuh muatan kerepek kentang yang dibawanya biarpun sesat di hutan selama empat hari. - Katu.com
SEORANG pemandu trak yang sesat selama empat hari di sebuah kawasan hutan di Oregon, Amerika Syarikat, ditemui selamat pada Sabtu.
Namun apa yang menarik ialah pemandu terbabit, Jacob Cartwright, 22 tahun, langsung tidak menyentuh muatan kerepek kentang yang dibawanya.
Cartwright memandu trak berkenaan untuk menghantar muatan kerepek itu ke sebuah pekan kecil bernama Nyssa, Oregon, Rabu lalu.
Namun sistem GPS yang digunakan untuk membantunya mencari jalan ke pekan itu tidak berfungsi dengan baik, lantas membawanya melalui jalan merentas kawasan hutan dan pergunungan, lapor portal Katu.com.
"Ketika dia membuat keputusan untuk berpatah balik, hari sudah mula gelap dan nasibnya tidak baik apabila trak 18 tayar itu tergelincir ke tebing curam dan tersangkut," kata majikan Cartwright, Roy Henry kepada portal CNN.
Keadaan menjadi semakin sukar buat Cartwright apabila telefon bimbitnya gagal mendapat isyarat, lalu dia membuat keputusan untuk berjalan kaki untuk mendapatkan bantuan.
"Dia keluar masuk hutan untuk mencari orang yang boleh membantu. Dia beritahu saya, pada waktu malam, dia bersembunyi dalam batang pokok besar untuk memanaskan badan dan mengelak dari dilihat haiwan buas," cerita Henry lagi.
Henry juga kagum dengan pekerjanya yang sanggup bertahan dan tidak menyentuh langsung kerepek kentang yang penuh dalam trak itu.
"Katanya, dia diajar untuk tidak mengambil sesuatu yang bukan haknya. Tanggungjawabnya untuk membawa muatan itu kepada pelanggan dan dia tidak mahu mengambil kesempatan," kata Henry.
Cartwright yang dihantar ke hospital mengalami dehidrasi yang teruk, namun doktor memaklumkan keadaannya dijangka akan semakin baik dalam beberapa hari lagi.
#Amerika Syarikat #GPS #hutan #Jacob Cartwright #kerepek kentang #Oregon #pergunungan #sesat #trak
;