Serpihan komet melalui langit Portugal, Sepanyol

Astro Awani
Mei 20, 2024 08:30 MYT
ESA menganggarkan ia terbang di atas Sepanyol dan Portugal pada kelajuan 45 kilometer sesaat sebelum terbakar di Atlantik. - Foto X/ESA
BRAGA: Kejadian serpihan komet terang melalui langit di bandar Braga, Portugal pada Sabtu malam telah berjaya dirakam sebuah kamera keselamatan.
Fenomena astronomi berkenaan dapat dilihat dengan jelas di pelbagai bahagian di Sepanyol dan Portugal.
Pada Ahad, Agensi Angkasa Eropah (ESA) berkongsi video di platform X yang menunjukkan meteor itu melalui langit bandar Caceres di barat Sepanyol, berhampiran sempadan Portugal.
Tetapi ESA kemudiannya berkata ia kelihatan seperti "serpihan kecil komet" dan bukan meteor dan menganggarkan ia terbang di atas Sepanyol dan Portugal pada kelajuan 45 kilometer sesaat sebelum terbakar di Atlantik.
Menurut ESA, kemungkinan untuk mana-mana meteor ditemui adalah sangat rendah.
Di kedua-dua negara, video yang menunjukkan objek itu melintasi langit malam pada kelajuan tinggi dan meneranginya dalam rona biru dan hijau menjadi tular di media sosial apabila kejadian berkenaan sempat dirakam oleh beberapa individu.
Balai cerap astronomi Calar Alto di Sepanyol juga berkata analisis awal oleh Institut Astrofizik Andalusia mendedahkan objek itu mempunyai ciri-ciri komet.
Susulan kejadian itu, Jabatan Perkhidmatan Kecemasan Sepanyol 112, di Madrid memberitahu bahawa mereka telah menerima beberapa panggilan kecemasan.
#komet #ESA #meteor #Atlantik
;