Seronok! Rakyat Indonesia dapat cuti panjang Hari Raya Aidilfitri

Astro Awani
April 8, 2022 12:38 MYT
Jokowi berkata, republik itu turut memutuskan cuti Aidilfitri peringkat nasional ditetapkan pada 2 dan 3 Mei - Gambar/Instagram Jokowi
KERAJAAN Indonesia mengisytiharkan 29 April dan 4 hingga 6 Mei ini sebagai cuti kolektif sempena Hari Raya Aidilfitri.
Presidennya, Joko Widodo (Jokowi) dalam satu rakaman video berkata, republik itu turut memutuskan cuti Aidilfitri peringkat nasional ditetapkan pada 2 dan 3 Mei.
"Keputusan mengenai cuti bersama (kolektif) akan diatur secara lebih terperinci oleh menteri-menteri berkaitan. Cuti bersama ini dapat digunakan untuk (menjalin) silaturrahim dengan orang tua, keluarga dan rakan taulan di kampung halaman," katanya dalam rakaman berkenaan, baru-baru ini.
SEMUA ARTIKEL DAN VIDEO BERHUBUNG SAMBUTAN RAMADAN DI SINI
Jokowi turut berkata, dianggarkan 85 juta orang akan pulang ke kampung halaman bagi meraikan lebaran pada tahun ini.
"Daripada jumlah tersebut, 47 peratus akan melakukan perjalanan menggunakan kenderaan persendirian, manakala kira-kira 14 juta penduduk akan meninggalkan kawasan Jakarta Raya," tambah beliau.
Beliau dalam masa yang sama mengingatkan seluruh rakyat negara itu agar mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan dan segara mendapatkan vaksin dos penggalak.
Selain itu, Jokowi memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan perjalanan rakyat republik itu pulang ke kampung halaman berjalan lancar dan selamat.
#Joko Widodo #Hari Raya Aidilfitri #Semangat Lebaran Kita #Ramadan
;