Serbia dan Kosovo gagal capai kata putus pulihkan hubungan

Astro Awani
Februari 7, 2013 09:00 MYT
Pertemuan pertama antara Presiden Serbia dan Kosovo gagal mencapai kata putus dalam usaha memulihkan hubungan dua negara yang bermusuh itu.
Presiden Serbia, Tomislav Nikolic dan Presiden Kosovo, Atifete Jahjaga masing-masing mempunyai alasan dalam mempertahankan hak mereka.
Nikolic dalam kenyataannya memberitahu, halangan utama yang dihadapinya adalah status negara Kosovo.
Menurutnya, Jahjaga terus mempertahankan Kosovo sebagai sebuah negara merdeka yang perlu mempunyai hubungan baik dengan Serbia.
Sementara Jahjaga dalam kenyataannya pula melabelkan Nikolic sebagai pemimpin yang terikat kepada pilihan nasionalistik yang radikal.
Nikolic merupakan ultranasionalis yang menentang pemisahan antara Serbia dan Kosovo sehingga perang berakhir pada 1999.
Bagaimanapun, Nikolic mula berlembut dan mempromosikan dirinya sebagai pro Kesatuan Eropah sebelum menjadi presiden tahun lepas.
Serbia sehingga kini masih menganggap Kosovo yang majoritinya dihuni etnik Albania sebagai sebahagian daripada wilayahnya walaupun kemerdekaan Kosovo sudah diiktiraf oleh 90 negara.
Pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin ini dianjurkan Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah, Catherine Ashton.
#Atifete Jahjaga #Kosovo #Serbia #Tomislav Nikolic
;