Serangan udara Yaman: Lebih 39 terbunuh, 90 cedera

Astro Awani
Disember 14, 2017 09:46 MYT
Sebuah pusat tahanan yang dikendalikan puak Houthi antara yang terkena serangan udara di Sanaa, Yaman, 13 Disember, 2017. REUTERS
Selepas bersependapat dengan negara Islam lain pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Arab Saudi didakwa melancarkan serangan terbaharu di Yaman.
Dalam kejadian serangan udara terbaharu di Sanaa, sekurang-kurangnya 39 orang dilaporkan terbunuh manakala 90 yang lain cedera.
Ia didakwa dilancarkan pasukan tentera pakatan Arab Saudi dan Amerika Syarikat.
Tujuh serangan udara yang dilancarkan pada tengah malam Rabu dipercayai mensasarkan sebuah kem polis di timur laut bandar itu.
Serangan terbabit turut memusnahkan bangunan berhampiran yang turut didiami orang awam.
BACA: 30 maut dalam serangan udara di Yaman
Menurut saksi kejadian, mereka tidak sempat menyelamatkan mangsa yang terkena serangan pertama kerana serangan kedua hanya berselang beberapa minit kemudian.
"Sekitar jam 12.20 tengah malam, peluru berpandu pertama menghentam bangunan terbabit dan kami bergegas ke sana.
"Tetapi tidak sampai seminit, serangan udara bertali arus menuju ke kawasan sama dan kami menyaksikan sendiri kehancuran kawasan sekitar." jelas Hamid Mohammed
Menurutnya lagi, anggota polis dan tentera di kem terbabit adalah pasukan yang menyokong Presiden Abdu Rabboo Mansur Hadi.
#Amerika Syarikat #Arab Saudi #cedera #Islam #Istanbul #presiden #serangan #Turki #Yemen
;