Serangan udara Israel di selatan Lubnan, langgar gencatan senjata

Bernama
Februari 7, 2025 23:09 MYT
Impak ledakan daripada salah satu serangan udara Israel yang disasarkan di Baisariyeh, selatan Lubnan. - X: @galpalpheebs
BEIRUT: Pesawat perang Israel melancarkan serangan udara pada Jumaat ke atas bandar Baisariyeh di daerah Sidon, selatan Lubnan, menyaksikan peningkatan dalam pelanggaran berterusan Israel terhadap perjanjian gencatan senjata, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik media tempatan.
Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan letupan kuat kedengaran di kampung Baisariyeh, yang kemudiannya disahkan berpunca akibat serangan udara Israel.
Agensi itu turut mengesahkan yang Israel memulakan operasi letupan dua fasa di kampung Kfarkila, selatan Lubnan.
Gencatan senjata yang rapuh berkuat kuasa sejak 27 November 2024, menamatkan serangan antara Israel dan kumpulan Hizbullah di Lubnan, yang bermula pada 8 Oktober 2023 dan meningkat menjadi konflik berskala penuh pada 23 Sept tahun lalu.
Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, Israel melakukan lebih daripada 840 pelanggaran, membunuh dan mencederakan puluhan orang di Lubnan, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Israel sepatutnya menyelesaikan pengunduran dari selatan Lubnan pada 26 Januari mengikut perjanjian gencatan senjata, namun ia enggan berbuat demikian dan tarikh akhir itu dilanjutkan sehingga 18 Februari.
-- BERNAMA
#serangan udara #Israel #gencatan senjata #selatan Lubnan #pelanggaran perjanjian
;