Serangan udara Israel di Damsyik mengakibatkan kematian - Laporan
Bernama
Februari 19, 2023 12:10 MYT
Februari 19, 2023 12:10 MYT
BEIRUT: Serangan udara Israel terhadap Damsyik pada malam Sabtu dilaporkan mengorbankan beberapa nyawa setakat ini, lapor German Press Agency (dpa).
Agensi Berita Syria (SANA) dan Syria TV melaporkan bahawa lima orang maut dalam serangan di kejiranan Kafr Souseh, manakala Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) mengeluarkan angka kematian mencecah 15 orang.
Israel melancarkan peluru berpandu dari Dataran Tinggi Golan ke ibu negara Damsyik termasuk kawasan perumahan.
Lima orang terbunuh termasuk seorang askar, manakala 15 orang awam dilaporkan cedera akibat serangan itu, lapor SANA memetik sumber tentera.
Beberapa kediaman turut musnah.
Televisyen Syria memaparkan imej bangunan yang musnah dan melaporkan bahawa ibu pejabat pejuang pro-Iran di ibu negara turut terkena bedilan.
Tentera Israel bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu.
Israel kerap melancarkan serangan terhadap negara jiran Syria dalam usaha menghalang Iran meluaskan pengaruhnya di kawasan itu.
--BERNAMA
TAG: konflik, Syria, Israel, Damsyik