Serangan udara di Syria ragut 11 nyawa termasuk kanak-kanak

Agensi
Julai 13, 2016 22:40 MYT
Lebih daripada 280,000 terbunuh sejak konflik Syria bermula pada Mac 2011. - Foto AFP
Sekurang-kurangnya 11 orang awam termasuk tiga kanak-kanak maut dalam serangan udara yang dilancarkan di Idlib, barat daya Syria pada Rabu.
Badan Pemantauan Hak Asasi Manusia Syria walau bagaimanapun belum mengesahkan sama ada serangan yang menghentam bandar Iriha itu dilakukan oleh tentera pemerintah Syria atau pesawat pejuang Rusia.
Bandar itu di bawah tawanan pasukan bersenjata penentang yang dilapor mempunyai rangkaian dengan sekutu Al-Qaeda, Al-Nusra, yang menguasai hampir kesemua daerah Idlib.
Rakaman video yang dimuat naik oleh aktivis menunjukkan kesan serangan tersebut, dengan penduduk dan pekerja pertahanan awam mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Idlib sering menjadi sasaran bedilan senjata daripada tentera udara pemerintah Syria dan serbuan yang dilaksanakan sekutu Rusia.
Selaku penyokong kuat kerajaan Damsyik, Moscow meningkatkan sokongannya terhadap Presiden Bashar al-Assad pada 30 September lalu, ketika ia memulakan kempen serangan udara untuk mengukuhkan kedudukan rejim.
Sementara itu di tempat lai, badan pemantau berkata sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh pada Rabu di bandar Rastan dalam daerah Homs.
Lima daripadanya mati dalam serangan udara yang membedil kawasan pasar, manakala tiga lagi terbunuh dalam serangan bom pada awal Rabu.
#Bashar al-Assad #Idlib #orang awam terkoban #perang #serangan udara #Syria
;