Serangan tindak balas Amerika terhadap pasukan pejuang pro-Iran di Syria, Iraq dikecam
Agensi
Februari 3, 2024 06:45 MYT
Februari 3, 2024 06:45 MYT
WASHINGTON: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menyerang pasukan pejuang yang disokong oleh Iran di Iraq dan Syria sebagai tindakan balas terhadap serangan maut ke atas tentera AS mendapat kecaman daripada kerajaan dan kumpulan pejuang lain di rantau itu.
AS yang berikrar untuk melancarkan lebih banyak serangan, menyalahkan serangan dron ke di pangkalan AS di Jordan ke atas tenteranya yang didakwa disokong oleh Iran.
Tentera AS bagaimanapun tidak menyerang di dalam wilayah Iran,berikutan Washington dan Tehran dilihat berusaha untuk mengelak perang habis-habisan.
Bagaimanapun, dengan ketegangan yang sudah memuncak dalam menghadapi perang Israel-Hamas di Gaza, kedua-dua kerajaan Syria dan Iraq menyertai Tehran menuduh Washington menjejaskan kestabilan serantau.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata, pesawat tempur AS menyerang "lebih 85 sasaran di tujuh kemudahan" iaitu empat di Syria dan tiga di Iraq.
"Sasaran ini dipilih dengan teliti untuk mengelakkan kemalangan jiwa orang awam," tambahnya.
Dalam perkembangan sama, kerajaan Iraq berkata, orang awam merupakan antara sekurang-kurangnya 16 mangsa yang terbunuh di barat negara itu.
Damsyik juga melaporkan kematian orang awam, tetapi pemantau perang berkata, kesemua 29 yang terbunuh dalam serangan AS ke atas Syria adalah pejuang.
“Serangan udara agresif ini akan mendorong keadaan keselamatan di Iraq dan wilayah itu ke jurang kebinasaan,” kata jurucakap kerajaan Iraq, Bassem al-Awadi. - Agensi