Serangan terhadap warga emas Asia Amerika berleluasa, unit respons khas ditubuhkan
Agensi
Februari 9, 2021 00:40 MYT
Februari 9, 2021 00:40 MYT
BEBERAPA insiden serangan terhadap warga emas Asia Amerika tanpa wujud unsur provokasi di Bay Area, San Francisco menimbulkan kegusaran terhadap sentimen anti-Asia yang mempunyai kaitan dengan pandemik COVID-19.
Susulan itu, Peguam Daerah Alameda Nancy O’Malley mengumumkan penubuhan unit respons khas yang memberikan fokus kepada jenayah terhadap orang Asia, terutamanya individu yang lebih berusia.
Di San Francisco, Vicha Ratanapakdee, 84 tahun meninggal dunia selepas diserang secara tiba-tiba ketika keluar bersiar-siar pada 28 Januari lalu.
Manakala di sekitar Chinatown di Oakland, polis berkata tiga warga emas cedera akibat ditolak seorang lelaki pada 31 Januari lalu.
Berikutan insiden-insiden tersebut, para pelakon Daniel Wu dan Daniel Dae Kim menawarkan AS$25,000 bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu dalam penangkapan serangan Oakland di Chinatown.
"Pada skala yang lebih besar, retorik perkauman dari pandemik telah menjadikan kami sebagai penyebab koronavirus dan oleh itu, orang Asia di seluruh dunia diserang, dikecam dan menjadi sasaran cercaan perkauman," kata Wu.
Peningkatan perasaan anti-orang Asia semakin menjadi-jadi selepas wujudnya wabak COVID-19 di Wuhan, China.
Retorik tersebut wujud apabila bekas presiden Donald Trump berulang kali mengelar penyakit tersebut sebagai ‘virus China’.
Terdahulu, pada minggu pertama pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, beliau menandatangani memorandum eksekutif yang mengakui bahawa retorik yang berunsur xenophobia telah membahayakan orang, keluarga, masyarakat dan perniagaan orang Asia dan Kepulauan Pasifik (AAPI).
#Asia Amerika
#anti-orang Asia
#unit respons khas
#COVID-19
#pandemik
#Joe Biden
#Donald Trump
#Amerika Syarikat
#perkauman