Serangan terhadap rejim Zionis Israel adalah satu khidmat bakti kepada dunia - Ali Khamenei
Astro Awani
Oktober 4, 2024 19:02 MYT
Oktober 4, 2024 19:02 MYT
APA jua serangan ke atas rejim Zionis Israel boleh dianggap sebagai satu khidmat kepada rantau Asia Timur, dan mungkin juga kepada dunia, kata Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Memetik laporan Al Jazeera, beliau dalam ucapan kepada seluruh penduduk Arab berkata, campur tangan kuasa asing dalam membantu Israel sudah menjadi satu isu yang kritikal untuk rantau tersebut.
Tetapi, tegasnya lagi, tindak balas terhadap kekejaman Israel telah meletakkan rejim Zionis itu kembali ke era 70 tahun dahulu, ketika ia sedang berjuang untuk bertahan, seperti mana yang ia lakukan ketika tertubuh dahulu.
“Apa jua serangan terhadap rejim Zionis dari mana-mana individu, atau mana-mana organisasi, adalah khidmat kepada keseluruhan rantau ini, dan kemungkinan untuk seluruh umat manusia,” katanya.
Khamenei turut menyeru rakyat Lubnan untuk tidak berputus harapan, dan terus melawan Israel. Beliau memetik situasi di mana beberapa pemimpin kanan Iran, termasuk presiden dahulu, telah dibunuh dalam tempoh beberapa bulan pada tahun 1981, namun kesemua itu hanya mengukuhkan lagi pegangan mereka.
Tambahnya lagi, situasi yang sama sedang terjadi di Lubnan, apabila mereka kehilangan pengasas Hezbollah Abbas al-Musawi, serta mufti dan ahli politik Musa al-Sadr, tetapi kehilangan itu hanya menjadikan mereka lebih kuat.
Lubnan pada Khamis mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Setiausaha Agung Antonio Guterres mengenai pencerobohan Israel ke dalam wilayahnya serta pelanggaran Blue Line yang memisahkan kedua-dua negara itu.
Kenyataan misi tetap Lubnan ke PBB, menyatakan aduan terbabit mengecam pencerobohan terhadap kedaulatan Lubnan dan kemasukan pasukan Israel ke dalam sempadan Lubnan sejak malam 1 Okt, lapor Agensi Anadolu.
Israel melancarkan operasi darat di selatan Lubnan, dengan pegawai menyatakan ia bertujuan untuk mewujudkan zon penampan keselamatan yang akan berlangsung selama beberapa minggu, menurut laporan itu.
Israel melancarkan serangan udara besar-besaran sejak 23 September ke atas apa yang dikatakannya sebagai sasaran Hezbollah di seluruh Lubnan, yang meragut lebih 1,100 nyawa setakat ini, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Masyarakat antarabangsa memberi amaran bahawa serangan Israel di Lubnan boleh mencetuskan konflik Gaza kepada perang serantau yang lebih luas.