Serangan AS terhadap Houthi cecah 60 sasaran, 16 lokasi - Tentera Udara AS

Bernama
Januari 12, 2024 17:16 MYT
Serangan udara berkenaan menyasarkan kemudahan dan kedudukan Houthi sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal komersial di Laut Merah dan bukannya penduduk awam. - AP
WASHINGTON: Serangan Amerika Syarikat terhadap Houthi di Yaman kini melebihi 60 sasaran membabitkan 16 lokasi, menurut Pusat Tentera Udara AS dalam satu kenyataan media.
"Atas arahan Markas Pusat AS (CENTCOM), Markas Komponen Udara Bersama dan Sekutu melancarkan serangan ke atas lebih 60 sasaran di 16 lokasi Houthi yang disokong Iran, termasuk pusat arahan dan kawalan, gudang peluru, sistem pelancaran, kemudahan pengeluaran dan sistem radar pertahanan udara," menurut kenyataan itu lewat malam Khamis.
Lebih 100 munisi berpandu tepat atau precision-guided munitions pelbagai jenis digunakan dalam serangan itu.
Amerika Syarikat dan United Kingdom melancarkan serangan udara sejak Khamis terhadap kedudukan Houthi di empat wilayah di Yaman termasuk ibu negara Sana'a dan bandar Al Hudaydah, Saada dan Taiz, kata pegawai kerajaan wilayah kepada Sputnik.
Pegawai AS dan UK mengesahkan serangan udara berkenaan sambil mendakwa ia menyasarkan kemudahan dan kedudukan Houthi sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal komersial di Laut Merah dan bukannya penduduk awam.
Houthi mendakwa pihaknya sedang melancarkan serangan ke atas pangkalan dan kedudukan tentera UK dan AS serta mengancam bahawa Washington dan London akan menerima akibat susulan kerana serangan besar-besaran ini.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Houthi #Yaman #serangan
;