Serangan tembakan di festival seni Trenton, 20 cedera

Agensi
Jun 17, 2018 07:05 MYT
Seorang anggota polis memeriksa bahan bukti yang terdapat di lokasi kejadian pada Ahad. - AP
Sekurang-kurangnya 20 orang cedera dalam insiden tembakan di festival seni di Trenton, ibu negeri New Jersey awal pagi Ahad dengan seorang suspek ditembak mati, kata pendakwa raya tempatan.
"Pada kira-kira jam 2.45 pagi, Jabatan Polis Trenton menerima panggilan kecemasan berkenaan berlakunya tembakan dan anggota memerlukan bantuan di bangunan Roebling Wire Works di 675 South Clinton Avenue di mana berlakunya acara Art All Night.
"Siasatan awal mendapati dua suspek melepaskan tembakan rambang ketika festival itu sedang berlangsung di dalam gudang bangunan tersebut. Beberapa senjata turut ditemui," kata ketua pendakwa raya, Angelo Onofri kepada pemberita.
Salah seorang suspek, lelaki berusia 33 tahun, terbunuh dan seorang lagi suspek ditahan, katanya.
Antara mangsa yang cedera di festival tersebut termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang kini dalam keadaan kritikal.
Media tempatan melaporkan 22 mangsa cedera dengan empat daripada mereka kritikal.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak memaklumkan punca serangan tembakan itu atau bagaimana ia berlaku.
#Art All Night #New Jersey #serangan #tembakan #Trenton
;