Serangan siber sasar hospital Barcelona, ribuan pesakit terjejas

Agensi
Mac 7, 2023 18:55 MYT
Kerajaan Catalonia dalam sebuah kenyataan memberitahu Agensi Keselamatan Siber di wilayah itu sedang berusaha untuk memulihkan sistem itu. - Freepik
BARCELONA: Sebuah serangan siber yang menyasarkan sistem komputer salah sebuah hospital utama di Barcelona, Sepanyol menyebabkan sistem operasi pendaftaran kemasukan pesakit lumpuh.
Memetik AP, serangan ransomware itu menyebabkan temu janji bagi 150 pembedahan bukan kecemasan dan pemeriksaan kesihatan bagi lebih 3,000 pesakit terbatal.
Serangan siber yang berlaku di Klinik Hospital de Barcelona menyebabkan kesemua komputer di makmal kemudahan, bilik kecemasan, farmasi di tiga pusat utama dan beberapa klinik luar dimatikan.
"Kami tidak boleh meramal bila sistem akan kembali normal," kata pengarah hospital Antoni Castells dalam sebuah sidang akhbar, semalam.
Beliau berkata, pelan kontingensi hospital akan membolehkan hospital beroperasi selama beberapa hari namun berharap sistem dapat diperbaiki lebih awal.
Kerajaan Catalonia dalam sebuah kenyataan memberitahu Agensi Keselamatan Siber di wilayah itu sedang berusaha untuk memulihkan sistem.
Agensi memaklumkan serangan itu didalangi oleh kumpulan 'Ransom House' dari luar Sepanyol.
Setiausaha telekomunikasi kerajaan wilayah, Segi Marcén berkata, penggodam tidak membuat sebarang permintaan tebusan setakat ini dan tiada pembayaran wang akan dibuat.
Sementara itu, jabatan media hospital memaklumkan semua kerja bertulis sedang dilakukan secara manual dan pihak hospital sedang mengalihkan kes kecemasan baharu ke hospital lain di bandar itu.
#keselamatan siber #barcelona #serangan siber #Klinik Hospital de Barcelona
;