Serangan pisau Perancis: 'Tiada petunjuk motif pengganas' - Pendakwa Raya
Astro Awani
Jun 9, 2023 17:15 MYT
Jun 9, 2023 17:15 MYT
ANNECY: Tiada petunjuk terarah kepada motif pengganas dalam serangan pisau yang mencederakan empat kanak-kanak dan dua orang dewasa di bandar Annecy, Perancis pada Khamis.
Pendakwa Raya, Line Bonnet-Mathis berkata, bagaimanapun pejabat pendakwa negara bagi keganasan sedang menjalankan penilaian berhubung insiden berkenaan.
Jelas Bonnet-Mathis, suspek lelaki adalah pelarian gelandangan yang tiba di Annecy pada musim luruh tahun lalu, dan kini dalam tahanan polis.
"Seperti saya katakan pada awal, tiada elemen yang membenarkan kita untuk mengenal pasti sebagai motif pengganas.
"Seramai enam orang mengalami kecederaan fizikal termasuk empat kanak-kanak bawah umur dan dua dewasa.
"Antara empat kanak-kanak berkenaan, kita telah kenal pasti dua merupakan warga Perancis, seorang warga Belanda dan seorang lagi warga Britain.
"Ini adalah empat kanak-kanak yang sangat kecil, kerana salah seorang berusia 22 bulan, dua kanak-kanak berusia dua tahun serta seorang berusia tiga tahun yang kesemuanya telah dicederakan dengan pisau oleh suspek, yang telah ditahan," katanya dilaporkan Reuters.
Bonnet-Mathis menambah daripada enam yang cedera, lima daripadanya dikategorikan sebagai kecemasan dan masih kekal dalam keadaan itu setakat Jumaat.
Katanya, pihak pendakwa raya membuka siasatan mengenai cubaan membunuh.
Sementara itu, Menteri luar Britain, James Cleverly mengesahkan salah seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan tersebut adalah warganegara Britain.
Menurut beliau, kerajaan telah mengarahkan pegawai konsular Britain yang dalam perjalanan ke lokasi kejadian, untuk membantu keluarga mangsa.
Pada masa sama, Kerajaan Britain jelasnya menzahirkan solidariti kepada seluruh rakyat Perancis susulan kejadian ngeri itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne berkata penyerang terbabit adalah warga Syria berusia 31 tahun dan diberikan suaka di Sweden, 10 tahun lalu.