Serangan pengganas sasar kemudahan Turkish Aerospace Industries di ibu negara Turkiye

Bernama
Oktober 23, 2024 23:58 MYT
Letupan dan bunyi tembakan kedengaran di kemudahan Turkish Aerospace Industries di daerah Kahramankazan, Ankara pada Rabu. - Gambar Reuters
ANKARA: Satu serangan pengganas menyasarkan kemudahan Turkish Aerospace Industries (TAI) di ibu negara Turkiye, Ankara, kata seorang pegawai kanan Turkiye pada Rabu.
Serangan itu mengakibatkan kematian dan kecederaan, menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye Ali Yerlikaya di platform X, memetik laporan Agensi Anadolu.
Beliau menyeru orang awam supaya bergantung kepada kenyataan daripada sumber rasmi untuk perkembangan terkini.
Turut disiarkan di platform X, Pusat Memerangi Disinformasi Turkiye menggesa orang ramai untuk mengikuti kenyataan daripada sumber rasmi dan mengelakkan tuduhan "tidak berasas."
Letupan dan bunyi tembakan kedengaran di kemudahan Turkish Aerospace Industries di daerah Kahramankazan, Ankara pada Rabu.
Pasukan keselamatan, bomba dan paramedik dikerahkan ke kawasan kejadian.
Dilaporkan bahawa kakitangan firma pertahanan itu diarahkan ke tempat perlindungan atas sebab keselamatan.
-- BERNAMA
#pengganas #letupan #tembakan #firmsa pertahanan
;