Serangan pengganas Christchurch: Suspek beli senjata api dari laman web

Nailah Huda
Mac 18, 2019 10:46 MYT
Seorang pelanggan meneliti senapang AR-15 di sebuah kedai senjata di Utah, Amerika Syarikat - Foto REUTERS.
Kedai senjata api di New Zealand, Gun City, mengesahkan bahawa suspek pengganas tragedi Christchurch telah membeli empat laras senjata api dari kedai tersebut secara atas talian.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Gun City, David Tripple berkata, senjata api yang dibeli dari kedai tersebut tidak digunakan dalam serangan ke atas dua buah masjid yang mengorbankan 50 nyawa pada Jumaat lalu.
Suspek pengganas tersebut telah didakwa di mahkamah dan dinamakan sebagai Brenton Tarrant.
“Saya melihat video itu dan senapang yang digunakan itu bukan dari mana-mana kedai yang berkaitan dengan Gun City,” kata beliau dalam satu sidang media pada Isnin.
Tambah beliau, semua senjata api yang dibeli oleh suspek tersebut dibeli dalam talian dan berasingan dalam tiga atau empat pesanan sejak sebulan selepas suspek tersebut pertama dapat lesen pemilikan senjata api.
Pesanan terakhir yang dibuat oleh suspek tersebut adalah pada Mac tahun lepas.
“Pihak kami tidak mengesan apa-apa yang luar biasa mengenai suspek itu yang memiliki lesen,” tambah Tipple lagi.
Di sidang media itu, beliau turut elak menjawab soalan mengenai undang-undang senjata.
“Hari ini tidak fokus kepada debat mengenai senjata. Hari ini, kita patut berbincang tentang bagaimana keluarga-keluarga terlibat sedang menangani tragedi yang dilakukan oleh ‘orang gila’ itu,” sambung beliau lagi.
Tipple memberikan sidang media pada hari sama Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengemukakam usul mengenai pindaan undang-undang senjata api bersama ahli Kabinetnya.
Sementara itu, akhbar Guardian pada Ahad melaporkan, orang ramai berpusu-pusu membeli senjata di kedai Gun City di Christchurch selepas Ardern mengumumkan akan mempertimbangkan keputusan untuk melarang penjualan senapang separuh automatik.
Seorang kakitangan Gun City menggambarkan situasi di kedai Gun City pada Ahad sebagai 'membimbangkan'.
Sebelum ini, undang-undang di New Zealand menetapkan had umnur minimum untuk memiliki lesen senjata api ialah 16 tahun dan 18 tahun untuk memiliki senapang separuh automatik.
#Brenton Tarrant #Christchurch #Gun City #Jacinda Ardern #New Zealand #serangan pengganas Christchurch #Tragedi Christchurch #tragedi masjid #Tragedi Solat Jumaat #undang-undang senjata
;