Serangan pengganas Christchurch: Penyerang bertindak sendirian - Polis
Agensi
Mac 17, 2019 09:08 MYT
Mac 17, 2019 09:08 MYT
Lelaki yang didakwa bertanggungjawab dalam kes serangan pengganas ke atas dua masjid di Christchurch pada Jumaat, Brenton Tarrant, dipercayai bertindak berseorangan, kata polis.
Warga Australia berusia 28 tahun itu, yang melabelkan dirinya sendiri sebagai pelampau kulit putih, telah memuat naik video serangan tersebut secara langsung di akaun Facebook miliknya ketika kejadian.
Menurut Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush, tiga lagi suspek yang terdahulu turut ditahan susulan serangan itu dipercayai tidak terlibat secara langsung, namun siasatan masih dijalankan.
"Saya tidak akan berkata apa-apa secara konklusif sehingga kita benar-benar yakin berapa orang yang terlibat menjalankan serangan tersebut," katanya pada satu sidang media pada Ahad.
Jelasnya, pihaknya juga tidak percaya dua suspek yang ditahan susulan kejadian itu terlibat dalam tragedi solat Jumaat itu dan hanya tertuduh yang telah didakwa setakat ini.
Pada Sabtu, Tarrant dihadapkan ke mahkamah dan dilihat tersenyum sinis. Dia didakwa atas kesalahan membunuh dan dijangka akan didakwa atas beberapa kesalahan lain selepas ini.
Pada peringkat awal, polis telah menahan tiga lelaki dan seorang wanita susulan kejadian tersebut.
Seorang wanita telah dibebaskan dan seorang lelaki telah didakwa kerana memiliki senjata api.
Seorang lagi lelaki bersenjata, yang dilaporkan telah pergi ke tempat kejadian untuk menghalang penyerang, telah dibebaskan.
Selain itu, seorang lelaki berusia 18 tahun juga ditahan, namun polis percaya dia tidak terlibat kejadian tersebut. Bagaimanapun remaja tersebut akan dihadapkan ke mahkamah pada Isnin.
Tambah Bush lagi, kesemua mereka yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Tarrant pula telah direman dan akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 5 April.
Hakim mahkamah juga telah mengarahkan pihak media untuk tidak mendedahkan wajah Tarrant bagi memastikan pendakwaan yang adil terhadapnya.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, yang menyifatkan insiden itu sebagai serangan pengganas berkata, Tarrant memiliki lesen senjata api dan mempunyai lima pucuk pistol.
Setakat ini, 50 orang terkorban dalam tragedi itu manakala 50 lagi cedera dalam kejadian yang disifatkan sebagai serangan terburuk di negara itu.
Bush berkata, pihak berkuasa kini sedang mengenal pasti semua mangsa serangan Masjid Al Noor dan Masjid Linwood dan akan mengeluarkan senarai penuh secepat mungkin.
#Australia
#Brenton Tarrant
#Christchurch
#jenayah
#mahkamah
#mangsa
#masjid
#Mike Bush
#New Zealand
#pengganas
#serangan
#serangan pengganas
#siasatan
#suspek
#Tragedi Solat Jumaat