Serangan pengganas Christchurch: Fraser Anning bertegas enggan mohon maaf
Agensi
Mac 18, 2019 15:12 MYT
Mac 18, 2019 15:12 MYT
AHLI politik Australia yang menerima kritikan masyarakat dunia kerana mengeluarkan komen berbaur rasis dan menyalahkan orang Islam sebagai punca tragedi tembakan pengganas di Christchurch, New Zealand dengan bongkaknya menyatakan pendiriannya enggan memohon maaf.
Senator Fraser Anning, sebaliknya, bukan sahaja mempertahankan komen yang dibuat tentang kejadian itu, malah turut menegaskan, tindakannya menampar Willy Connoly yang memecahkan telur di kepalanya beberapa hari lalu sebagai tidak salah.
"Dia ditampar kerana sikap biadabnya. Sepatutnya dari dulu lagi ibunya tampar dia.
"Apabila orang pecahkan telur di kepala anda, anda tentu akan beri reaksi dan mempertahankan diri," kata Anning seperti yang dilaporkan portal ABC.
Ditanya tentang petisyen yang dibuat untuk menggesa dia dipecat daripada jawatannya sebagai senator, Anning nampaknya tidak terkesan.
"Semua orang ada pendapat masing-masing. Lagipun, belum tentu semua yang tandatangan petisyen itu dari Australia," jawabnya.
Parlimen Australia tidak mempunyai kuasa untuk membuang ahli politik kerana tingkah laku mereka, tetapi Ahli Parlimen atau senator boleh diusir jika mereka disabitkan atas satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun atau lebih.
#Australia
#budak telur
#EggBoy
#New Zealand
#Parlimen
#Senator Fraser Anning
#serangan pengganas Christchurch
#Tragedi Solat Jumaat
#Willy Connoly