Serangan pengganas Christchurch: Bapa sanggup ditembusi peluru demi selamatkan nyawa anak

Agensi
Mac 18, 2019 12:14 MYT
Tindakan Zulfirman yang merebahkan diri ke atas anaknya menyelamatkan nyawa kedua-dua beranak itu. - Foto Facebook Zulfirman Syah
Seorang kanak-kanak yang berumur dua tahun terselamat dalam tragedi tembakan pengganas di Christchurch kerana dilindungi ayahnya.
Zulfirman Syah yang berasal dari Indonesia dan anaknya, Averroes berada dalam Masjid Linwood di Christchurch ketika pengganas Brendon Tarrant melepaskan tembakan dan mencederakan orang ramai serta membunuh 50 orang.
Tindakannya yang merebahkan diri ke atas anaknya itu telah menyelamatkan nyawa mereka, meskipun kedua-duanya tetap mengalami kecederaan akibat terkena tembakan berkenaan.
Zulfirman mengalami kecederaan yang agak serius kerana tubuhnya terkena lebih banyak peluru yang ditembakkan ke arah mereka,
Menurut isteri Zulfirman, Alta Marie, suami dan anaknya itu kini sedang dirawat di hospital bagi mengeluarkan serpihan peluru.
Ekoran kejadian itu, Marie berkata, anaknya mengalami trauma selepas kejadian tersebut.
“Suami saya melindungi anak kami semasa serangan di Masjid Linwood dan dia mengalami kecederaan yang lebih kompleks daripada anak kami.
“Selepas suatu pembedahan besar dan pembedahan rekonstruktif pada hari ini, suami saya kini stabil,” katanya di laman Facebook peribadinya.
Dalam masa sama, Marie berterima kasih kepada orang ramai yang menitipkan doa serta menghantar mesej mendoakan kesejahteraan suami dan anaknya.
Pada Jumaat lalu, New Zealand dikejutkan dengan tragedi serangan pengganas ke atas dua buah masjid di bandaraya Christchurch yang sehingga kini dilaporkan mengorbankan 50 nyawa.
Selain Indonesia, rakyat Malaysia juga ada yang terlibat dalam insiden yang berlaku semasa solat Jumaat.
#Brendon Tarrant #Indonesia #Malaysia #Masjid Linwood #New Zealand #serangan pengganas Christchurch #Tragedi Solat Jumaat
;