Serangan pasar raya Auckland: Suspek pengikut Daish, dikehendaki sejak 2016 - Ardern

Astro Awani
September 3, 2021 13:50 MYT
ARDERN: Dia jelas sekali seorang penyokong ideologi Daish. Ia satu serangan kebencian, itu salah. Ia dilakukan oleh seorang individu, bukan suatu kepercayaan. -Gambar fail
WELLINGTON: Insiden serangan yang berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Auckland pada Jumaat diklasifikasikan sebagai serangan pengganas.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata penyerang yang dikenal pasti sebagai warga Sri Lanka itu merupakan suspek yang dikehendaki sejak 2016, lapor The Sydney Morning Herald.
Enam orang cedera, tiga dalam keadaan kritikal apabila seorang lelaki bersenjatakan pisau menyerbu sebuah pasar raya di Auckland, New Zealand dan menikam beberapa pengunjung sebelum ditembak mati oleh polis.
"Dia jelas sekali seorang penyokong ideologi Daish.
“Ia satu serangan kebencian, itu salah. Ia dilakukan oleh seorang individu, bukan suatu kepercayaan.
"Dia sendiri yang bertanggungjawab atas tindakannya itu," kata Ardern.
BACA: Lelaki serang pengunjung pasar raya New Zealand ditembak mati
Polis New Zealand menembak mati seorang lelaki yang mencederakan beberapa pengunjung di sebuah pusat beli-belah di bandar Auckland.
"Polis mengesahkan bahawa seorang lelaki telah memasuki pasar raya LynnMall Countdown dan mencederakan beberapa pengunjung.
"Polis telah mengesan lelaki itu dan dia telah ditembak mati di tempat kejadian," kata Polis New Zealand dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian itu, seorang saksi yang berada hampir dengan penyerang berkata dia melihat saat semuanya bermula.
Dia mendakwa nampak penyerang tersebut mengambil pisau dengan pemegang berwarna merah sepanjang 30cm dari jaketnya.
"Saya berada di lorong produk tenusu, dan lelaki ini tiba-tiba saja menikam dua wanita di depan saya.
"Saya kemudian tersedar yang saya perlu beredar dari sini," kata saksi itu.
Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Tim berkata dia melihat seorang lelaki tua terbaring dengan luka tikaman di perut.
Seorang mangsa wanita pula ditikam di bahu, kata Tim.
Kejadian ini susulan insiden keganasan yang menggemparkan dunia pada 15 Mac 2019 apabila seorang warga Australia bersenjatakan semi-automatik membunuh 51 individu dan mencedarakan puluhan lain apabila melakukan tembakan rambang ke atas umat Islam.
Suspek Brenton Tarrant turut menyiarkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu menerusi siaran langsung di Facebooknya.
BACA: Tragedi solat Jumaat: 40 terkorban dalam tembakan rambang Christchurch
BACA: Apa yang kita tahu setakat ini mengenai tragedi solat Jumaat Christchurch
BACA: 2 tahun tragedi Christchurch: Dunia perlu bahas isu 'pelampau kulit putih' - Jacinda Ardern
#pengganas #tikam pengunjung pasar raya #Jacinda Ardern #pengganas warga Sri Lanka
;