Serangan Paris: Anonymous isytihar perang siber terhadap IS

Agensi
November 17, 2015 12:03 MYT
Menurut Anonymous serangan sedemikian tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman. - Gambar Fail
KUMPULAN penggodam, Anonymous, bersiap sedia melancarkan serangan siber terhadap militan IS susulan serangan di Paris yang meragut 129 nyawa dan mencederakan ratusan yang lain Jumaat lalu.
Dalam satu video yang dimuat naik ke internet, seorang lelaki yang memakai bertopeng Guy Fawkes berkata, militan IS yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Paris itu adalah "makhluk perosak" dan Anonymous akan memburu mereka.
Menurut Anonymous serangan sedemikian tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.
"Serangan sebegini tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman," kata lelaki berkenaan mengunakan bahasa Perancis.
"Kami akan melancarkan operasi paling besar terhadap anda (IS). Tunggulah banyak serangan siber. Perang sudah diisytiharkan. Bersedialah.
"Kami tidak maafkan dan tidak akan lupa," katanya tanpa memberikan butiran serangan itu.
Lelaki bertopeng itu berkata, Anonymous mengistiharkan perang dan akan melancarkan operasi paling besar terhadap IS.
Mereka turut memberi amaran bahawa banyak serangan siber akan dilakukan.
Anonymous adalah jaringan antarabangsa aktivis penggodam komputer yang mengaku bertanggungjawab terhadap banyak serangan siber.
Sejak serangan ke atas akhbar satira Charlie Hebdo Januari lalu yang mengorbankan 17 nyawa, Anonymous telah melancarkan kempen atas talian memaksa penutupan profil Twitter disyaki milik penyokong IS.
Anonymous mendakwa ia telah mengenal pasti lebih 39,000 profil IS dan sudah dilaporkan kepada Twitter.
#Anonymous #IS #militan #Paris #Perancis
;