Serangan Orlando: Paderi cetuskan kontroversi, keluar kenyataan tidak sedih peliwat mati

Agensi
Jun 15, 2016 21:37 MYT
Omar Mateen (gambar) menjadi penyebab terpalitnya sejarah hitam buat keluarga 50 nyawa yang terkorban dalam kejadian tembakan di kelab malam gay, Pulse. - Gambar fail
Seorang paderi di Sacramento, Amerika Syarikat menimbulkan kontroversi apabila dengan lantangnya menyatakan ‘kesyukuran’ berhubung kejadian tembakan rambang yang dilakukan seorang pemuda, Omar Mateen, 30, di kelab malam Pulse, pada Ahad lalu.
Menurut paderi Roger Jiminez, dari Gereja Verity Baptis, dia tidak langsung bersedih dengan kematian mangsa dalam insiden tembakan rambang yang meragut 50 nyawa serta mencederakan 53 yang lain itu.
Beberapa jam selepas insiden itu, Jiminez dalam ucapannya di gereja, menyatakan, “Ia seperti yang didoakan. Takkan kamu bersedih kerana 50 peliwat terbunuh?"
BACA: Serangan Orlando: Siapa Omar Mateen?
“Saya rasa ia bagus. Kini Orlando, Florida akan lebih selamat.”
Bagaimanapun, komennya di laman YouTube berhubung pandangannya itu dipadamkan oleh golongan aktivis LGBT dan pihak berkuasa tempatan.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Orlando sudah mengenal pasti kesemua identiti mangsa - lingkungan 18 hingga 50 tahun. Daripada 53 orang yang cedera, hanya 27 yang masih menerima rawatan di hospital – enam dalam keadaan kritikal, menurut doktor di Pusat Perubatan Orlando.
Antara yang cedera, Angel Colon, yang cedera di kaki akibat terkena tembakan – dengan daging betisnya hancur akibat dipijak ketika berasak-asak menyelamatkan diri di Pulse.
“Saya terdengar bunyi tembakan pada jarak yang dekat. Ketika saya cuba melihat dan jelas nampak dia (penembak) menembak gadis di sebelah saya. Saya cuma baring. Yang berlegar dalam fikiran, sayalah mangsa seterusnya, saya akan mati,” menurut Colon ketika menceritakan detik cemas itu kepada wartawan.
“Semua mendengar dia (Mateen) sedang bercakap dengan anggota pasukan kecemasan talian 911, yang memberitahu niatnya melakukan serangan ini agar Amerika Syarikat berhenti menyerang dan melancarkan bom ke atas negaranya,” kongsi seorang lagi mangsa, Patience Carter.
Carter memberitahu situasi paling menakutkan ketika Mateen bertanya, siapa di kalangan kamu berbangsa Afrika – Amerika? sebelum memberitahu semua orang, “Kamu tahu, saya tidak ada masalah dengan warga kulit hitam. Ini adalah mengenai negara saya.”
Serangan tembakan itu turut memberi kesan terhadap etnik Latin di Orlando – dimana ketika kejadian tembakan, kelab tersebut menganjurkan tema etnik itu dengan ribuan yang hadir meskipun sudah lewat malam.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Rabu menyatakan solidariti terhadap komuniti LGBT di negara itu dengan menyifatkan pelaku sebagai ‘marah, mengalami gangguan emos,i tidak stabil hingga mengundang menjadi lebih radikal."
Tambah Obama, pihak berkuasa percaya, suspek, Mateen – penganut agama Islam – telah terdedah dengan propaganda ekstermis menerusi online.
Obama dijadual berlepas ke Orlando pada Khamis.
#Florida #gay #LGBT #Omar Mateen #Orlando #tembakan rambang
;