Serangan Orlando: Antara harapan, hijab dan hati
Reeza Redzuan Rosnan
Jun 16, 2016 12:37 MYT
Jun 16, 2016 12:37 MYT
SEPERTi yang semua sedia maklum, tragedi hitam telah berlaku di sebuah kelab gay di Orlando mengakibatkan 49 orang terkorban.
Pembunuh merupakan seorang Muslim bernama Omar Mateen. Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman mengenai acara yang saya kunjungi beberapa hari lalu.
Maklumlah bukan selalu acara sebegini diadakan dan saya berharap agar perkongsian saya ini bermanfaat untuk semua. Atas semangat ingin belajar dengan memerhatikan masyarakat, saya nekad untuk hadir ke program tersebut.
Acara penghormatan diadakan di sebuah kelab gay di Tulsa, lebih kurang 2,000 kilometer jaraknya dengan Orlando.
Gugup pada mulanya ingin melangkah masuk ke tempat yang dipandang jelik dan hina oleh masyarakat ini. Berdebar hati semasa beratur masuk ke dalam premis tersebut. Berbekalkan pisang dan air mineral untuk berbuka nanti (buka puasa pukul 8.41 malam, acara bermula pukul 8.30 malam), saya memberanikan langkah.
Namun alangkah terkejutnya saya melihat sekumpulan orang Islam turut hadir bagi menunjukkan solidariti kepada golongan LGBT. Perasan gementar saya bertukar kepada takjub dan kagum.
Di Malaysia, simpang 99 malaikat pun tidak akan berlaku situasi sebegini. Bahkan ada yang hadir berkopiah, serta berlitup hijab, dan mereka berada di sebuah kelab gay yang terdapat bar dan lampu disko.
Berbuka puasa di kelab 'gay'
Kemudian, telefon bimbit saya bergetar, menandakan masuk waktu berbuka. Saya pun menjamah makanan yang dibawa sambil mendengar pengacara melaungkan "We love you Orlando!"
Dari jauh saya perhatikan sekumpulan Muslim tersebut turut sama menjamah sedikit air dan biskut sambil tekun menghayati ucapan seorang paderi dan beberapa orang wakil Oklahomans for Equality.
Kemudian, pengacara menyatakan pihak paling awal menghubungi penganjur tidak lain dan tidak bukan adalah komuniti Muslim Tulsa sambil menjemput seorang wanita berhijab naik ke pentas.
Seluruh hadirin memberikan tepukan gemuruh. Saya terkejut dan tertanya-tanya, mengapa mereka tidak membenci Muslim sedangkan seorang Muslim baru sahaja membunuh komuniti mereka?
Ternyata wanita tersebut merupakan wakil Islamic Society of Tulsa. Seperti biasa, skrip yang sama diulang seperti keganasan tiada tempat dalam Islam, bunuh seorang insan tidak berdosa bermakna membunuh seluruh manusia, Islam adalah agama keamanan dan sebagainya.
Namun terdapat intipati ucapan tersebut yang menarik hati saya. Komuniti LGBT dianggap sebagai saudara kepada komuniti Islam di Amerika Syarikat.
Minoriti sokong minoriti
Kedua-dua kumpulan merupakan kumpulan minoriti, dan pada saat seluruh negara dan media membakar sentimen Islamophobia, kumpulan LGBT merupakan antara kumpulan yang mempertahankan umat Islam di sini.
Golongan 'berdosa dan dilaknat Tuhan' inilah antara benteng yang menyokong umat Islam untuk mengamalkan agama mereka secara aman dan bebas.
Pada saat imej Islam yang tercalar dan didiskriminasi akibat serangan pengganas di Paris dan Brussel, golongan LGBT inilah yang bermati-matian meyakinkan bangsa mereka sendiri bahawa keganasan itu tiada kaitan dengan Islam.
Saya termangu memikirkan mengapakah golongan LGBT masih lagi menerima komuniti Islam setelah apa yang terjadi kepada mereka, bahkan berdiri hormat kepada wanita tadi?
Alangkah tinggi pemikiran dan pendidikan mereka: penuh kemaafan dan rasional. Saya terkesima dan bangga dapat menyaksikan acara yang penuh cinta.
Keharmonian dan Islam
Dalam perjalanan pulang, suasana hening seketika. Ligat otak saya memikirkan, apakah jenis Islam yang diamalkan di Amerika Syarikat ini sehingga mampu memupuk keharmonian masyarakat setinggi ini?
Siapakah kita untuk menyatakan mereka kurang Islam berbanding Islam cara kita? Adakah mereka ini umat yang sesat? Jika benar, mengapakah kita bangga apabila bilangan umat Islam di US meningkat saban tahun?
Adakah saya akan dicampak ke neraka hanya kerana memandang mereka sebagai manusia dan bukan binatang penuh nista?
Bagaimana pula sekiranya tragedi ini berlaku di Malaysia? Pembunuh tersebut sudah tentu akan dipalu riang dan digelar sebagai wira jihad. Kerana persepsi kita memandang golongan LGBT adalah lebih hina dari binatang, bukan manusia yang sedikit berbeza daripada kita.
Kita dididik, Islam tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa. Jika degil, maka dakwalah, dendalah, penjaralah, bakar gerejalah, bahkan bunuhlah padahnya.
Kita mahukan semua orang menghormati kita, kita hormati mereka itu nombor dua. Kita mahukan orang percaya apa yang kita percaya, dan setiap kesalahan adalah propaganda Yahudi Nasrani semata-mata.
Banyak yang saya belajar pada malam ini, saya bersyukur kepada Allah kerana diberikan peluang untuk menjadi insan yang lebih menghargai. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya.
Sejurus pulang dari solat tarawih, saya memeriksa timeline Facebook saya.
Saya terbaca komen orang Malaysia mengenai tragedi yang berlaku.
Saya terpaku, diam seribu bahasa.
*Reeza Redzuan Rosnan ialah seorang pelajar Malaysia di University of Tulsa, Oklahoma
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI