Serangan London Bridge: Daish mengaku bertanggungjawab
Nailah Huda
Disember 1, 2019 09:14 MYT
Disember 1, 2019 09:14 MYT
KUMPULAN pengganas antarabangsa Daish telah mengaku bertanggungjawab atas serangan tikaman di London Bridge pada Jumaat yang meragut tiga nyawa termasuk suspek pelaku.
Dakwa kumpulan itu dalam satu kenyataan pada Jumaat menerusi agensi berita miliknya, Amaaq, serangan itu dijalankan salah seorang pejuangnya.
Suspek, Usman Khan, 28 tahun, dikatakan menyahut seruan Daish untuk mensasarkan penduduk di kelompok negara yang menyokong Amerika Syarikat.
Namun, tiada bukti diberikan bagi menyokong dakwaan itu.
Sebelum ini, beberapa pakar menjelaskan bahawa kumpulan pengganas seperti Daish boleh mengaku bertanggungjawab atas mana-mana serangan yang dijalankan oleh penyokongnya, walaupun pelaku tidak menerima sebarang arahan secara langsung.
Ketika kejadian, Usman sedang menghadiri satu program rehabilitasi banduan, Learning Together, anjuran Universiti Cambridge, sebelum bertindak menyerang salah seorang penyelaras program, Jack Merritt.
Jack, 25 tahun, merupakan graduan Universiti Cambridge yang berpengalaman dalam membantu banduan untuk membina semula kehidupan mereka.
Menurut laporan media tempatan, bapa mangsa, David Merritt menerusi Twitter menggambarkan anaknya sebagai seorang insan mulia yang berusaha untuk menyebelahi pihak yang sentiasa ditindas.
“Anak saya, Jack, yang terbunuh dalam serangan ini, pasti tidak mahu kematiannya digunakan sebagai alasan untuk mengukuhkan hukuman drakonian atau menahan individu tanpa sebab,” kata David dalam satu tweet.
Identiti seorang lagi mangsa masih belum didedahkan oleh pihak polis.
Pada 2008, Usman pernah muncul dalam satu temubual bersama BBC News dan mendakwa beliau bukan seorang pengganas.
Usman dijatuhkan hukuman penjara pada 2012 atas kesalahan berkaitan keganasan namun dibebaskan dengan bersyarat pada Disember 2018.
Dalam kejadian pada Jumaat, suspek telah dikejar oleh orang awam di London Bridge dan kemudiannya diserang beberapa individu menggunakan pemadam api dan gading ikan paus narwhal, sebelum ditembak mati polis.
Pada Jun 2017, Daish turut mengaku bertanggungjawab atas insiden tembakan di London Bridge yang meragut lapan nyawa.
#Amerika Syarikat
#Brexit
#daish
#ISIS
#London
#london bridge
#pengganas
#Serangan London Bridge
#terorisme