Serangan ke atas kedutaan adalah satu deklarasi perang - Penganalisis

Astro Awani
April 18, 2024 22:03 MYT
Sebarang bentuk serangan ke atas mana-mana kedutaan atau konsulat boleh ditafsirkan sebagai satu deklarasi perang. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Serangan ke atas kedutaan atau konsulat merupakan satu pelanggaran undang-undang yang sangat serius kerana ia merupakan simbol kedaulatan sesebuah negara.
Sebarang bentuk serangan ke atas mana-mana kedutaan atau konsulat boleh ditafsirkan sebagai satu deklarasi perang.
Bagi Felo Penyelidik Kanan, Asia Middle East Center for Research & Dialogue (AMEC), Dr. Ferooze Ali, apa yang dilakukan oleh Israel, dengan menyerang konsulat Iran di Syria, adalah untuk mencetuskan satu konflik baharu dan mengubah naratif bahawa rejim Zionis itu sedang melakukan genosid di Gaza.
Beliau berpendapat, serangan yang dibuat oleh Israel ke atas konsulat Iran di Syria merupakan strategi bagi mengalih pandangan ke atas apa yang berlaku di Gaza.
"Sepanjang konflik Iran dan Israel, pelanggaran hak asasi manusia di Gaza tetap berlaku.
"Israel tetap dengan operasi-oeprasi mereka secara spesifik terhadap pasukan Hamas yang cuba membawa kestabilan di Gaza.
"Ini merupakan percaturan politik Netanyahu. Beliau mahu hidup terus dalam politik di Israel jadi beliau mencari berbagai rencana untuk melanjutkan hayat politik beliau di Israel," katanya menerusi program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam konflik yang berlaku antara Iran dan Israel ini, banyak pihak melihat sikap negara-negara di Asia Barat dalam isu ini.
Dialog Tiga Penjuru: Perang lebih besar?
Bagi Pakar Undang-undang Antarabangsa, Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM, Prof Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli, selama ini banyak negara-negara di Asia Barat tidak melihat Israel sebagai gangguan kepada mereka, sebaliknya Iran lebih dilihat sebagai ancaman.
Mohd Yazid menjelaskan, Iran sering dikaitkan dengan memberikan sokongan kepada pihak-pihak tertentu seperti puak Houthi di Yaman.
"Di Timur Tengah (Asia Barat) terutama, dalam kalangan Sunni, termasuk kepimpinan Sunni, tidak melihat Israel sebagai ancaman.
"Selama ini, mereka (pemimpin Sunni) tidak pernah melihat Israel hendak menawan negara Arab lain di Timur Tengah.
"Tetapi mereka melihat negara yang aktif membekalkan senjata kepada militan adalah Iran. Oleh itu negara-negara Arab melihat Iran sebagai ancaman, bukan Israel," katanya.
Dengan berlakunya konflik yang antara Iran dan Israel, yang lebih penting adalah dunia Islam perlu memberi tekanan kepada Israel dan sekutunya.
Jika tiada sebarang tekanan dibuat, Israel dan sekutunya seperti Amerika Syarikat akan terus bertindak sewenang-wenangnya.
#Iran #perang #konflik #Israel #Gaza #Palestin #kemanusiaan #konsulat #kedutaan
;