Serangan ke atas Gaza akan diteruskan selagi perlu - Netanyahu
Agensi
Ogos 24, 2014 20:59 MYT
Ogos 24, 2014 20:59 MYT
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi amarannya terhadap Gaza sambil bertekad meneruskan serangan terhadap Hamas selagi perlu.
"Hamas sedang menerima akibatnya, dan akan terus terima akibat atas jenayah yang mereka lakukan.
"Saya menyeru kepada penduduk Gaza untuk segera meninggalkan apa-apa bangunan yang digunakan Hamas untuk menjalankan aktiviti keganasan terhadap kami. Semua tempat tersebut adalah sasaran kami," katanya.
Pemimpin rejim Tel Aviv itu menuntut balasan atas kematian seorang kanak-kanak Israel pada Jumaat akibat serangan peluru berpandu di sempadan Gaza.
Pada pengkembumian kanak-kanak itu, Daniel Tragerman pada Ahad, ibunya menyifatkan Daniel sebagai seorang bakal pemimpin yang mampu membawa keamanan.
Dalam pada itu, Netanyahu turut memberi amaran kepada negara Lubnan dan Syria bahawa tiada kekebalan kepada sesiapa pun yang melancarkan serangan ke atas penduduk Israel.
Dia merujuk kepada serangan peluru berpandu pada Ahad malam oleh Lubnan yang ke arah utara Israel. Bagaimanapun tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar Mesir menggesa pihak yang terlibat dalam konflik Gaza supaya menerima perjanjian damai tanpa syarat dan meneruskan rundingan tidak langsung dengan Kaherah.
Israel pada Ahad telah telah 20 'sasaran keganasan' melalui udara, dan dibalas oleh sekurang-kurangnya 20 peluru berpandu pejuang Hamas.
Menurut angka dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat ini lebih 100,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal dengan lebih 17,000 rumah hancur atau rosak akibat serangan bom Israel.
Sehingga kini, tiada tanda-tanda gencatan senjata dari kedua-dua pihak seperti yang dirayu oleh Mesir bagi membolehkan perunding kembali ke Kaherah.