'Serangan Israel sasar orang awam keji' - Paus Francis
Astro Awani
Disember 26, 2023 12:20 MYT
Disember 26, 2023 12:20 MYT
VATICAN CITY: Ketua uskup Katolik, Paus Francis menggesa pengeboman kejam Israel ke atas Gaza dihentikan segera.
Dalam ucapan sempena hari Natal, Francis menggelar serangan Israel sebagai keji dan menuntut nyawa orang awam yang tidak bersalah diselamatkan.
Ucapannya itu khusus ditujukan kepada tragedi malam sebelum sambutan Krismas, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 78 orang maut dalam serangan udara Israel.
Jumlah korban itu adalah yang tertinggi dalam satu serangan tunggal.
"Betapa banyak keganasan dan pembunuhan berlaku di tengah-tengah kesunyian yang memekakkan telinga, tanpa disedari ramai!
"Orang yang tidak mahu senjata tetapi roti, yang berjuang untuk memenuhi keperluan hidup dan hanya menginginkan keamanan, tidak tahu berapa banyak dana awam dibelanjakan untuk senjata. Namun itu adalah sesuatu yang mereka patut tahu!
"Ia harus dibicarakan, supaya dapat menyerlahkan kepentingan dan keuntungan yang menggerakkan perang," katanya.
Francis yang juga ketua negara kota Vatican, turut mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan pihak berkuasa Palestin.
Beliau percaya penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jawapan kepada konflik yang berpanjangan dan menyeru agar dialog berterusan antara Israel-Palestin disokong oleh sokongan politik dan masyarakat antarabangsa.
"Semoga keamanan akan datang di Israel dan palestin, di mana peperangan memusnahkan kehidupan orang-orang itu.
Saya ingin memeluk mereka semua, terutamanya komuniti Kristian Gaza dan seluruh tanah suci. Hati saya berduka atas mangsa serangan keji dan saya mengulangi rayuan mendesak saya untuk membebaskan mereka yang masih menjadi tebusan.
"Saya merayu untuk menghentikan operasi ketenteraan yang mengerikan terhadap mangsa awam yang tidak bersalah dan menyeru penyelesaian kepada situasi kemanusiaan yang terdesak dengan membuka kepada penyediaan bantuan kemanusiaan.
"Semoga keganasan dan kebencian akan berakhir. Dan semoga persoalan Palestin dapat diselesaikan melalui dialog berterusan dikekalkan oleh kemahuan politik yang kuat dan sokongan masyarakat antarabangsa.
"Saudara dan saudari, marilah kita berdoa untuk keamanan di Palestin dan Israel," ujarnya lagi.
Ucapan ikonik sempena Krismas ini dibuat dari balkoni Basilika St. Peter kepada ribuan orang di dataran.
Francis turut berkata bahawa siapa yang melindungi jenayah perang untuk diteruskan merupakan boneka bagi melindungi industri persenjataan.
Francis yang berusia 87 tahun, juga menyeru agar konflik, politik, sosial atau ketenteraan dihentikan di pelbagai negara termasuk Ukraine, Syria, Yaman, Lubnan, Armenia dan Azerbaijan.