Serangan Israel meningkat, 100 nyawa terkorban

Agensi
Julai 29, 2014 14:03 MYT
Serangan Israel meningkat, 100 nyawa terkorban
Sekurang-kurangnya 100 orang Palestin terkorban dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza yang terus dipertingkatkan pada hari kedua Syawal.
Pegawai kesihatan Gaza, Ashraf al-Kidra dipetik oleh media berkata angka itu adalah mereka yang terkorban sejak tengah malam pada Isnin.
Angka korban warga Palestin dalam serangan yang masuk minggu keempat itu sehingga ini mencecah lebih 1,100 orang.
Serangan terbaru bermula semula selepas satu gencatan senjata yang diusahakan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) untuk membolehkan sukarelawan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Minggu lepas, setiausaha negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry mengetuai satu rundingan gencatan senjata Israel-Hamas bersama menteri-menteri luar dari Qatar, Turki, Perancis, Britain dan Jerman di Perancis.
Tiada wakil Israel, Mesir atau Palestin terlibat dalam rundingan tersebut.
Pemerintah Israel secara bulat menolak usulan gencatan senjata diajukan oleh Kerry, yang dikatakan ‘berpihak’ kepada Hamas.
Kerry dikritik atas kerana mengadakan perbincangan rundingan damai itu bersama Turki dan Qatar, yang dilihat sebagai penyokong kuat Hamas.
Peranan Mesir yang sebelum ini pengantara utama gencatan senjata Israel-Hamas pula telah dikurangkan.
Kerry yang sedang dalam kunjungan diplomatik ke Asia Barat dan Mesir pada hujung minggu sebagai usaha menganjurkan gencatan senjata selama tujuh hari antara Israel-Hamas.
Bercakap pada satu sidang media di Kaherah pada Sabtu, Kerry berkata rundingan sebelum ini gagal berikutan percanggahan pendapat dalam syarat-syarat gencatan senjata, namun beliau yakin usaha itu akan berjaya dicapai.
Tindakan terbaru Kerry untuk menemukan jalan tengah atas konflik berdarah di tanah Gaza itu dipercayai telah menyebabkan hubungan AS-Israel semakin renggang.
#Gaza #John Kerry #Palestin #syawal