Serangan Israel di Rafah tidak boleh diterima - AS

Astro Awani
Mei 9, 2024 00:45 MYT
Kenderaan tentera rejim Zionis Israel dilihat di Lintasan Rafah. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Israel bertanggungjawab untuk membuka lintasan Rafah bagi membenarkan pekerja bantuan kemanusiaan memasuki lintasan itu secepat mungkin bagi membantu pelarian di sana.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Matthew Miller berkata, keputusan Israel untuk merampas, menyerang dan mengawal lintasan Rafah sesuatu yang tidak boleh diterima.
"Soal tahap bantuan kemanusiaan, keputusan seperti hari ini adalah tidak boleh diterima.
"Presiden telah jelaskan kepada Perdana Menteri Netanyahu pada 4 April bahawa perlu ada perubahan dramatik dalam penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza," katanya.
Beliau juga berkata, AS mengambil keputusan menghentikan bantuan jangka pendek kepada pelarian Gaza disebabkan serangan yang berterusan di Rafah.
Katanya, operasi bantuan kemanusiaan kepada lebih 1 juta penduduk Palestin yang berlindung di Rafah ketika ini adalah amat berisiko.
"Israel telah merampas lintasan itu dan Israel mengawalnya sekarang. Jadi Israel bertanggungjawab untuk membuka lintasan itu.
"Kami telah menjelaskan kepada mereka bahawa mereka perlu membuka lintasan secepat mungkin dan memastikan penghantaran bantuan boleh masuk, pastikan pekerja bantuan kemanusiaan boleh masuk dan keluar dan memastikan bahawa penyampaian bantuan kemanusiaan tidak lagi dihalang," ujarnya lagi.
#Israel #lintasa Rafah #bantuan kemanusiaan #Matthew Miller