Serangan Israel di Palestin, korban di Gaza meningkat kepada 84
Khairunnisa Kasnoon
Mei 13, 2021 22:55 MYT
Mei 13, 2021 22:55 MYT
PENDUDUK Gaza terus menderita walaupun ketika menyambut Syawal pertama hari ini apabila pesawat tempur Israel tidak menghentikan serangan.
Menurut pihak berkuasa, sejak Israel melancarkan serangan pada Isnin lalu, sekurang-kurangnya 84 orang terkorban, termasuk 17 kanak-kanak.
Lebih 480 yang lain pula cedera, lapor Al Jazeera.
Tentera Israel mendakwa ratusan roket ditembak dari Gaza ke pelbagai lokasi di Israel dan mereka menambah kekuatan di kawasan Timur wilayah itu.
Terdapat juga konfrontasi yang ganas antara penduduk Israel dan penduduk Palestin di beberapa kawasan bandar di Israel.
Sebelum ini, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Anthony Blinken memaklumkan, akan mengirim wakil khas, untuk memujuk Palestin dan Israel supaya menghentikan serangan.
Israel dalam pada itu menegaskan akan meneruskan serangan ke atas kepentingan milik Hamas.
Hamas pula memberi peringatan tidak akan setuju dengan sebarang perjanjian dalam masa terdekat.
Rejim Yahudi melancarkan serangan bertalu-talu, selepas serangan balas roket Hamas.
Ia susulan tindakan Zionis bertindak ganas ke atas penduduk Palestin yang berada di Masjid Al-Aqsa.