Serangan dron Iran tidak akan berlaku sekiranya Israel berhenti seksa rakyat Palestin - Pakar

Azib Zikry
April 14, 2024 12:52 MYT
Situasi perang hanya akan mereda sekiranya kekejaman Zionis di bumi Palestin dihentikan. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Serangan dron oleh Iran ke atas Israel pada Ahad tidak akan berlaku sekiranya rejim Zionis itu menghentikan kedegilan dan kerakusan membunuh dan menyerang rakyat Palestin.
Justeru, Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Salawati Mat Basir berpandangan situasi perang hanya akan mereda sekiranya kekejaman Zionis di bumi Palestin dihentikan.
“Iran melihat keadaan di Palestin itu menjadi terlalu teruk, semalam pun kita lihat, di Tebing Barat pendatang haram membunuh rakyat Palestin.
“Pada saya kenapa Israel sangat takut, kerana jika ada campur tangan negara-negara lain, dan juga sokongan negara jelas kepada Palestin,” katanya kepada Astro AWANI.
Tindakan Iran kerana Israel melampaui batas - Pakar
Menurutnya lagi, gesaan Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan mesyuarat tergempar hanyalah retorik dan ingin berlindung di sebalik kuasa besar, Amerika Syarikat.
Menurutnya, ia adalah tindakan pengecut kerana mereka sendiri melanggar arahan gencatan senjata PBB.
“Mereka akan cepat-cepat menggunakan PBB walaupun mereka tidak menghormati undang-undnag antarabangsa.
“Kita akan melihat hipokrasi Amerika yang akan mempersetujui dengan mempercepat segala-galanya (proses),” tambahnya.
Justeru menurutnya lagi, perang ini perlu dihentikan segera sebelum ia merebak ke luar Asia Barat.
Kerana ia berisiko membawa kepada gangguan rantaian ekonomi dunia.
“Walau apa sekalipun perang ini wajar dihentikan, perdamaian mesti dilaksanakan secepat mungkin.
“Ia hanya boleh dilakukan dengan memberikan kedaulatan kepada Palestin kerana semua isu ini bermula dari sana.
“Kegagalan untuk menghentikan peperangan ini akan menjadi lebih besar di Asia Barat yang akan menganggu kestabilan dunia,” tambahnya lagi.
Menurutnya ia boleh dicegah, kerana ekonomi dunia, perjalanan kapal dagang, dan keamanan di Asia Barat menjadi ‘jantung’ kepada keamanan dunia.
#Asia #gencatan senjata #Tebing Barat #PBB #Israel #Iran #Palestin
;