Serangan dron berterusan, Kiev beri amaran jelas kepada Rusia

Astro Awani
Ogos 1, 2023 06:40 MYT
Anggota pasukan keselamatan mengawal sebuah bangunan di Moscow susulan laporan yang mendakwa Ukraine menyerang kota itu dengan dron. - Foto REUTERS
MOSCOW: Sebuah bangunan tinggi di ibu kota Rusia, Moscow diserang sekali lagi menggunakan dron, serangan kedua dalam tempoh dua hari, kata Datuk Bandar Sergei Sobyanin.
Jelasnya, beberapa dron berjaya disekat pada Isnin, namun satu dron lagi menyerang bangunan yang sama di kompleks bangunan di Moskva yang menjadi sasaran pada Ahad lalu.
Kementerian Pertahanan Rusia menyalahkan Ukraine ke atas serangan terbaharu itu.
Kiev tidak memberi sebarang komen berhubung serangan dron berkenaan, namun, memberi amaran kepada Rusia konflik antara kedua-dua negara itu akan beralih ke wilayahnya tidak lama lagi.
Ukraine juga tidak memberi sebarang respon tentang dakwaan Rusia tiga dron negara itu berjaya dipintas sebelum menyerang kapal tentera lautnya di Laut Hitam.
Tiada kecederaan dilaporkan susulan serangan di bangunan IQ-Quarter Tower 1 yang menempatkan tiga pejabat kementerian kerajaan Rusia.
Penjawat awam juga diarah untuk bekerja dari rumah.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata, dua lagi dron Ukraine berjaya dipintas sebelum menyerang beberapa bangunan lain di Moscow dan menyifatkannya sebagai "serangan pengganas".
Menurut media tempatan, Lapangan Terbang Vnukovo juga ditutup buat sementara.
Moscow beberapa kali menuduh Ukraine melancarkan serangan dron ke atas wilayahnya sejak kebelakangan ini termasuk serangan ke atas Kremlin - kediaman rasmi Presiden Vladimir Putin pada Mei lalu.
Walaupun Ukraine tidak mengaku bertanggungjawab ke atas beberapa insiden itu secara spesifik, Presiden Volodymyr Zelensky berkata, serangan di kawasan Rusia "tidak dapat dielakkan dan adil." - Agensi
#serangan dron #bangunan #pejabat kementerian kerajaan #serangan pengganas
;