Serangan di pejabat Save The Children, lima terbunuh
Agensi
Januari 24, 2018 06:04 MYT
Januari 24, 2018 06:04 MYT
Sekurang-kurangnya lima terbunuh dan 25 cedera susulan satu insiden tembak-menembak di antara pihak berkuasa dan kumpulan militan Daish di pejabat Save The Children di timur Afghanistan.
Menurut laporan awal, serangan tercetus apabila seorang pengebom bunuh diri yang memakai jaket mengandungi bahan letupan bertindak meletupkan dirinya di hadapan pejabat berkenaan pada Rabu.
Mangsa yang terkorban termasuk pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO), seorang pengawal keselamatan dan seorang tentera.
Sementara itu, 50 orang awam yang lain dipercayai sempat bersembunyi di lokasi selamat.
Susulan itu, kumpulan militan Daish mengaku bertanggungjawab melakukan serangan yang berlangsung kira-kira 10 jam itu.