Serangan di Moscow: Perancis tingkat tahap amaran tertinggi
Bernama
Mac 25, 2024 18:12 MYT
Mac 25, 2024 18:12 MYT
PARIS: Selepas serangan pengganas di dewan konsert berhampiran Moscow, Perancis telah meningkatkan amaran keselamatannya ke tahap tertinggi, umum Perdana Menteri Gabriel Attal pada Ahad.
Dalam hantaran di X (Twitter), Attal berkata langkah itu diambil semasa mesyuarat majlis pertahanan dan keselamatan atas permintaan Presiden Emmanuel Macron, berdasarkan dakwaan Daesh yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu dan ia ancaman terhadap Perancis.
"Memandangkan Daesh mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu dan ancaman yang melanda negara kita, kami telah memutuskan untuk meningkatkan amaran keselamatan ke tahap tertinggi," kata Attal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Amaran keganasan Perancis mempunyai tiga tahap dan amaran tertinggi boleh ditetapkan dengan segera selepas serangan atau apabila kumpulan pengganas yang dikenal pasti dan tidak diketahui lokasinya menjadi aktif.
Tahap amaran tertinggi dikenakan untuk tempoh masa yang terhad semasa pengurusan krisis. Ia membolehkan penggemblengan sumber yang luar biasa, tetapi juga penyebaran maklumat yang dapat melindungi rakyat dalam situasi krisis.
Sekurang-kurangnya 137 orang terbunuh apabila beberapa lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah penonton konsert di Dewan Bandaraya Crocus di barat laut Moscow pada Jumaat malam.
Sebelas suspek termasuk empat lelaki yang dipercayai terlibat secara langsung dalam serangan itu telah ditahan. Empat suspek utama dilaporkan ditangkap di wilayah Rusia Bryansk, yang bersempadan dengan Ukraine dan Belarus dan telah dibawa ke Moscow untuk disoal siasat.
Cawangan Daesh Wilayah Khorasan (ISKP), yang berpangkalan di Afghanistan dan Pakistan, telah mengaku bertanggungjawab atas serangan itu tetapi pihak berkuasa Rusia masih belum mengulas mengenai dakwaan berkenaan.
Sebaliknya, Presiden Rusia Vladimir Putin - tanpa memberikan bukti - telah mencadangkan bahawa terdapat "jejak" yang mendakwa penglibatan Ukraine, sebaliknya Kiev menafikan sekeras-kerasnya.
-- BERNAMA