Serangan di Jakarta: Polis siarkan nama mereka yang maut dalam serangan bom

Bernama
Januari 16, 2016 21:16 MYT
Anggota polis Indonesia sedang berkawal di lokasi serangan di Jakarta pada 14 Januari lalu. Foto AFP
Polis hari ini mengesahkan seorang daripada lima suspek pengganas yang maut dalam serangan bom dan senjata api di Jalan MH Thamrin pada Khamis lepas adalah antara orang yang pernah dipenjarakan kerana terbabit dengan aktiviti keganasan.
Afif atau dikenali sebagai Sunakin, 30-an, pernah dipenjara kerana terbabit dalam latihan pengganas dalam satu serbuan di Aceh pada tahun 2010.
Ketua Hubungan Manusia Polis Daerah Metro Jaya M. Iqbal memberitahu pemberita di sini hari ini, selain dari Afif, empat lagi suspek pengganas yang disahkan maut itu ialah Sugito, 43, Dian Joni Krniadi, 26, Muhamad Ali, 40, dan Ahmad Muhazan Saron, 25.
Mayat mereka disahkan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan setelah selesai bedah siasat di hospital Sukanto di sini semalam.
Katanya, mayat Afif dan Mohamad Ali ditemui dalam Kafe Starbucks manakala selebihnya adalah di kawasan letak kereta di tempat kejadian di Gedung Cakrawala dan di berhampiran pondok polis di simpang Jalan Thamrin itu.
Dua orang awam yang terkorban pula ialah seorang lelaki rakyat Kanada, Amer Quali Tahar, 60, dan rakyat tempatan yang dikenali sebagai Rico, 26.
Taher dipercayai ditembak oleh salah seorang pengganas dan ketika kejadian beliau berada di kawasan letak kereta di hadapan kafe Starbucks manakala mayat Rico ditemui di tepi pondok polis.
BACA: Polis Indonesia buru Muhammad Bahrun Naim
BACA: Serangan di Jakarta: Semua yang anda perlu tahu
FOTO: Jakarta digegarkan serangan bom, tembakan
Dalam kejadian serangan bom dan senjata api pagi Khamis lepas, tujuh orang mati termasuk lima daripadanya adalah suspek pengganas, manakala lebih 30 orang termasuk lima anggota polis dilaporkan parah.
Semalam, Ketua Polis Republik Indonesia, Badrodin Haiti berkata, hasil siasatan mendapati pengganas terbabit mendapat dana daripada rangkaian pengganas di Syria.
Katanya, sejumlah wang telah dikirimkan melalui pengikut-pengikut lelaki yang disyaki dalang serangan bom itu Muhammad Bahrun Naim.
Beliau berkata, rangkaian pengikut Muhammad Bahrun adalah puluhan orang sebelum dana itu sampai kepada suspek pengganas yang melalukan serangan tersebut.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati orang ramai terus berkumpul di tempat kejadian dan menyertai satu perhimpunan yang dikenali sebagai "Kami Tidak Takut" sebagai membuktikan rakyat Indonesia bersatu menentang keganasan.
Salah seorang peserta Yenny Wahid dari Institut Wahid berkata, tujuan perhimpunan itu adalah menunjukkan solidariti rakyat bersama pihak berkuasa untuk menentang aktiviti pengganas dan mahukan negara ini aman.
Katanya, rakyat tidak harus takut dengan kumpulan pengganas sebaliknya akan berusaha untuk membanteras sebarang aktiviti keganasan dengan memberi kerjasama kepada polis.
#bom #Indonesia #Jakarta #Jalan M.H. Thamrin #Joko Widodo #Najib Razak #serangan #Wisma Putra
;