Serangan di Jakarta: Polis sasaran utama serangan pengganas - Ketua Polis Indonesia
Bernama
Januari 15, 2016 17:18 MYT
Januari 15, 2016 17:18 MYT
Kumpulan pengganas yang membuat serangan bom dan senjata api di kawasan Jalan Thamrin semalam sebenarnya menjadikan polis sebagai sasaran utama mereka.
Ketua Polis Republik Indonesia, Badrodin Haiti berkata kumpulan pengganas terbabit menjadikan polis sebagai sasaran serangan kerana tidak berpuas hati dengan kejayaan polis menjejaki dan menghalang pergerakan mereka malah sering menangkap anggota kumpulan terbabit.
"Target utama memang kepolisian. Kenapa kami jadi target, karena kami yang selama ini menghalangi dan menangkap mereka," kata Badrodin kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, polis telah bergerak memburu saki baki anggota kumpulan yang terbabit dalam kes serangan bom dan senjata api semalam.
Setakat ini polis masih belum mendedahkan identiti lima pengganas yang ditembak mati dalam tragedi serangan bom semalam tetapi yakin mereka terbabit dengan rangkaian militan Daish.
"Kami pastikan mereka jaringan ISIS (Islamic State of Iraq and Syria)," katanya.
Pada kejadian semalam, tujuh orang iaitu lima suspek pengganas dan dua orang awam mati dalam serangan bom dan senjata api di restoran Starbuck di Gedung Cakrawala yang terletak bersebelahan pusat membeli-belah Sarinah Thamrin di Jalan MH Thamrin di sini.
Kejadian 10.50 pagi itu menggemparkan warga kota Jakarta yang ketika itu sedang bekerja dan lalu-lalang di jalan utama berkenaan.
Sementara itu tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati kawasan itu masih dikawal polis walaupun orang ramai dibenarkan memasuki Gedung Cakrawala.
Terdapat sekumpulan orang sedang berkumpul dan dimaklumkan bahawa mereka mahu menganjurkan satu demonstrasi bertemakan "Kami Tidak Takut" bertujuan membantah aktiviti keganasan yang berlaku di negara itu.