Serangan di Jakarta: Keadaan kini selamat, siasatan diteruskan - Polis
Agensi
Januari 14, 2016 17:36 MYT
Januari 14, 2016 17:36 MYT
Lima penyerang dan dua orang awam maut dalam serangan bom dan kejadian tembak menembak yang berlaku di Sarinah, Jalan MH Thamrin di sini hari ini.
"Lima pengganas maut," kata Menteri Keselamatan Indonesia Luhut Panjaitan kepada wakil media hari ini.
Tambahnya, seorang warga Indonesia dan seorang warga Belanda turut maut dalam kejadian itu.
Kedutaan Belanda di Indonesia turut mengesahkan seorang warganegaranya yang cedera kini dirawat di hospital.
Polis turut mengesahkan sekurang-kurangnya dua pengebom bunuh diri terlibat termasuk sejumlah penyerang yang menggunakan pistol.
Bagaimanapun, belum ada sebarang kumpulan mahupun individu yang mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu.
Saksi kejadian berkata satu letupan luar biasa meletus di hadapan sebuah rangkaian restoran, Starbucks sebelum sekurang-kurangnya seorang penyerang melepaskan tembakan rambang.
Sebelum kejadian ini, Indonesia turut digegarkan dengan beberapa kejadian letupan yang dilakukan oleh kumpulan radikal antara tahun 200 hingga 2009, termasuk serangan pada tahun 2002 di Bali yang meragut nyawa 202 orang.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa sedih selain terkejut susulan kejadian itu.
Malah, katanya, Malaysia sedia memberi sebarang bantuan kepada Indonesia jika diperlukan.
Dalam pada itu, memetik laporan Antara News, Ketua Badan Perisikan Indonesia, Sutiyoso berkata situasi di lokasi kejadian termasuk di seluruh Jakarta berada dalam keadaan aman.
"Jakarta aman, bagi warga yang ingin melakukan sebarang tugas, silakan," kata Sutiyoso setelah memantau lokasi pengeboman di sini hari ini.
Sutiyoso berkata demikian setelah wakil media bertanya berkenaan maklumat terkini kononnya terdapat beberapa kawasan panas yang menjadi fokus pengganas di Jakarta.
Menurut Sutisyoso, pasukannya sedang menyiasat kes ini dengan memperketat kawalan di pelbagai lokasi.