Serangan di Ankara: Pengganas guna kereta curi

Bernama
Oktober 2, 2023 11:30 MYT
Anggota unit pemusnah bom menjalankan kerja berhampiran sebuah kereta susulan kejadian letupan di Ankara, 1 Okt 2023. (Foto AP)
ISTANBUL (Turkiye): Pelaku serangan pengganas yang digagalkan di Ankara, Turkiye pada Ahad, menggunakan kereta yang dicuri daripada orang awam, kata Kementerian Dalam Negeri.
Kementerian itu juga mengesahkan mengenai hubungan seorang penyerang yang maut dengan kumpulan pengganas PKK dan siasatan masih diteruskan terhadap pengganas lain.
Kenderaan yang digunakan dalam serangan itu didapati dicuri daripada seorang rakyat tempatan Mikail Bozlagan yang bekerja sebagai juruteknik kesihatan veterinar di Develi di wilayah tengah Kayseri.
Dia dibunuh oleh pengganas dan kenderaannya dicuri, menurut Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian.
Dalam kejadian serangan pengganas itu, dua pegawai polis cedera ringan apabila seorang daripada dua penyerang itu meletupkan dirinya di hadapan Direktorat Keselamatan.
"Dua pengganas yang tiba dengan kenderaan komersial ringan di hadapan pintu pagar Direktorat Keselamatan, melakukan serangan bom. Seorang pengganas meletupkan dirinya dan seorang lagi ditahan," kata Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya di X.
Beliau berkata kedua-dua pegawai polis itu sedang dirawat kerana kecederaan ringan.
Pendakwa raya Ankara sudah memulakan siasatan ke atas serangan itu.
-- BERNAMA
#Ankara #pengebom bunuh diri #serangan pengganas #kereta curi
;