Serangan darat di Gaza, UAE minta adakan mesyuarat tergempar UNSC
Bernama
Oktober 29, 2023 17:30 MYT
Oktober 29, 2023 17:30 MYT
ANKARA: Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu meminta satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk membincangkan situasi di Semenanjung Gaza.
Ini berikutan tindakan Israel mempertimbang untuk memperluas serangan daratnya ke atas Semenanjung Gaza.
Menurut Agensi Anadolu (AA), permintaan itu dibuat oleh jurucakap misi UAE ke PBB Shahad Matar di aplikasi media sosial X.
"UAE telah meminta mesyuarat tergempar UNSC diadakan secepat mungkin berikutan pengumuman Israel bahawa ia memperluas operasi darat di Gaza," katanya.
UAE merupakan anggota tidak tetap UNSC bagi 2022-2023.
Kementerian Luar UAE mengutuk operasi darat Israel pada awal Sabtu di Gaza dan menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti ketenteraan Israel.
Kenyataan itu juga mengulangi permintaan UAE untuk gencatan senjata segera bagi memastikan orang awam dan institusi awam tidak menjadi sasaran.
-- BERNAMA