Serangan Christchurch: Syarikat ternama boikot, tarik iklan daripada Facebook, Google
Amirah Shariffudin
Mac 19, 2019 18:24 MYT
Mac 19, 2019 18:24 MYT
"JIKA pemilik laman web dapat menyasarkan iklan kepada pengunjung dalam kurang sesaat, kenapa teknologi sama tidak dapat digunakan untuk mencegah kandungan negatif yang disiar secara langsung?"
Itu persoalan yang diajukan Persatuan Pengiklan New Zealand dan Majlis Komunikasi Komersial kepada platform media sosial yang didakwa gagal menapis bahan siaran pada laman web mereka.
Tindakan ini susulan insiden serangan pengganas di Christchurch yang disiar secara langsung di media sosial pada Jumaat.
Ia turut mengeluarkan kenyataan menyeru syarikat di bawah seliaannya untuk mempertimbangkan semula pelaburan iklan serta platform pengiklanan mereka.
Ekoran kenyataan itu, beberapa syarikat ternama New Zealand dilapor bertindak memboikot platform media sosial yang didapati menayangkan serangan tidak berperikemanusiaan itu, lapor The New Zealand Herald.
ASB Bank, francais makanan segera Burger King serta syarikat telekomunikasi Spark antaranya dilapor telah menarik iklan mereka daripada Facebook dan Google.
Syarikat lain seperti Kiwibank, ANZ Bank New Zealand, Bank of New Zealand dan Lotto New Zealand juga telah menarik pengiklanan digital mereka sejak berlakunya insiden tersebut.
Kesepakatan dicapai syarikat-syarikat itu adalah bagi menegaskan pendirian tentang "bahaya akibat kandungan dalam talian yang tidak dikawal selia" dan menggesa syarikat berasaskan teknologi terbabit mengambil tindakan sewajarnya.
"Beberapa syarikat mula mempersoalkan sama ada mereka mahu dikaitkan dengan platform media sosial yang tidak dapat mengesan atau tidak bertanggungjawab di atas kandungan di laman tersebut.
"Kami mencabar Facebook dan pemilik platform lain untuk segera mengambil langkah mengawal kandungan negatif dengan berkesan sebelum tragedi lain disiarkan secara dalam talian," menurut kenyataan itu lagi.
Facebook dan Google dilapor tidak menjawab permintaan untuk memberikan komen berhubung perkara ini.
Tidak dinyatakan tempoh boikot itu akan dijalankan.
#ANZ Bank New Zealand
#ASB Bank
#Bank of New Zealand
#Burger King
#Christchurch
#Facebook
#Google
#iklan
#Lotto New Zealand
#New Zealand
#penembakan
#serangan
#Spark