Serangan Christchurch: Suspek utama serangan mengaku tidak bersalah
Agensi
Jun 14, 2019 19:02 MYT
Jun 14, 2019 19:02 MYT
PENGGANAS yang dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam serangan di dua masjid di Christchurch, pada Mac lalu, mengaku tidak bersalah ketika dibacakan pertuduhan terhadapnya pada Jumaat.
Suspek, Brenton Tarrant, 28 tahun, akan dibicarakan semula pada Mei tahun hadapan.
Dia yang dituduh melakukan serangan ketika umat Islam di New Zealand hendak mengerjakan solat Jumaat, 'hadir' di Mahkamah Tinggi Christchurch dengan cara audio-visual link dari penjara yang dikawal ketat di Auckland.
Melalui paparan audio visual, kelihatan Tarrant tersenyum ketika peguamnya, Shane Tait memberitahu bahawa tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
Rakyat Australia itu dihadapkan dengan 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh serta pembabitan dalam aktiviti keganasan susulan tragedi 15 Mac itu.
Pihak mahkamah memaklumkan bahawa tertuduh sihat dan tiada sebarang masalah berkaitan kesihatan untuk menjalani perbicaraan kes tersebut selepas satu pemeriksaan dilakukan.
Tertuduh berada dalam tahanan sebelum hadir semula ke mahkamah pada 15 Ogos ini untuk sesi penilaian kes.
Hakim Cameron Mander menetapkan 4 Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan manakala Tait berkata, ia dijangka berlangsung selama sekurang-kurangnya enam minggu.
#Brentont Tarrant
#Christchurch
#keganasan
#Masjid Al Noor
#Masjid Linwood
#New Zealand
#pengganas
#serangan
#Tragedi Christchurch