Serangan bom di Songkla: Tiada rakyat Malaysia terlibat, kata Kementerian Luar

Astro Awani
April 12, 2016 14:50 MYT
Seorang anggota polis dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut manakala lapan yang lain cedera dalam kejadian serangan bom di hadapan stesen kereta api Chana di wilayah bergolak selatan Thai pada 5.30 petang tadi. - Foto BERNAMA
Kementerian Luar Negeri hari ini mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terlibat akibat kejadian letupan bom di hadapan stesen keretapi Chana, Songkla semalam.
Selain itu, Malaysia turut mengutuk kejadian yang telah mengorbankan seorang anggota polis dan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, serta menyebabkan lapan individu cedera.
"Kerajaan Malaysia mengutuk kejadian letupan di hadapan Stesen Keretapi Chana, Daerah Chana, Songkhla pada 11 April 2016, yang telah mengorbankan dua nyawa dan menyebabkan kecederaan kepada lapan orang yang lain.
"Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Thailand dan keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan tersebut," kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam perkembangan terbaharu, jumlah mereka yang cedera dalam kejadian letupan bom itu telah meningkat kepada 15 orang, lapor Bernama.
Ketua Polis Bahagian Ke-9 Songkla, Lt Jen Polis, Wirapon Chunpakdee berkata bom yang dipasang pada motosikal itu dianggarkan seberat 20 kilogram meledak bersebelahan sebuah kenderaan polis.
#Chana #Kementerian Luar #Selatan Thai #serangan bom #Songkla #stesen keretapi