Serangan bom Bangkok: Dua lelaki Uighur didakwa
Reuters
November 24, 2015 23:05 MYT
November 24, 2015 23:05 MYT
Mahkamah tentera Thailand mendakwa dua lelaki yang dituduh melakukan serangan bom di Bangkok yang mengorbankan 20 orang termasuk 14 warga asing, menjadikannya antara insiden paling dahsyat dalam sejarah keselamatan negara itu.
Mahkamah membaca 10 pertuduhan kepada dua lelaki tersebut, termasuk melakukan pembunuhan terancang, pemilikan haram senjata dan membunuh dengan mengebom pada Ogos.
Kedua-dua tertuduh dinamakan sebagai Bilal Mohammad atau turut dikenali dengan nama Adam Karadag, nama yang tertera dalam pasport Turkinya, dan Mierali Yusufu.
Dokumen yang dihantar oleh pendakwaraya kepada mahkamah berkata bahawa kedua-dua lelaki berkenaan adalah warga China dari bangsa minoriti Uighur.
Serangan di Kuil Erawan, mercu tanda utama di tengah-tengah Bangkok itu telah mencederakan lebih daripada 120 orang.
Polis Thailand berkata pengeboman itu adalah bagi membantah tindakan keras ke atas penyeludupan manusia.
Mereka menolak kaitan dengan usaha penghantaran pulang 109 orang Islam Uighur ke China pada Julai.
Uighur adalah kumpulan etnik berbahasa Turki yang menetap di wilayah Xinjian, China.
Mohammad dan Yusufu telah ditahan di pangkalan tentera di Bangkok sejak penangkapan mereka pada bulan Ogos dan September.
Motif pengeboman masih tidak jelas dan tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap 17 orang atas tuduhan yang berpunca daripada serangan Bangkok tetapi ramai yang telah melarikan diri di luar negara.
Jurubahasa sedang diuruskan dengan kedua-dua suspek kerana mereka tidak dapat berkomunikasi dengan jurubahasa yang disediakan oleh pihak polis.
Pertuduhan diterjemahkan dari Thai ke dalam bahasa Inggeris dan akan dibaca semula pada 16 Februari tahun hadapan.