Serangan besar-besaran di Gaza, 28 maut termasuk kanak-kanak
Agensi
Julai 9, 2014 09:00 MYT
Julai 9, 2014 09:00 MYT
Sekurangnya 28 orang awam Palestin termasuk tiga kanak-kanak maut ketika tentera rejim Israel melancarkan kempen serangan udara dan laut besar-besaran keatas pejuang Hamas sejak malam tadi .
Rejim Israel sebelum itu turut memberi kebenaran kepada tenteranya untuk mengerahkan 40 ribu tentera tambahan dalam operasi serangan balas di Gaza.
Kempen serangan udara rejim Zionis itu turut menyebabkan lebih 150 orang awam yang lain cedera.
Rejim menyatakan mereka mungkin akan mengerahkan tentera darat ke Gaza untuk mengentikan serangan roket terhadap Israel .
Hamas sebelum itu dilaporkan melancarkan lebih 130 serangan roket ke Tel Aviv sejak Isnin malam.
Israel pula mendakwa berjaya memintas beberapa bedilan secara berasingan .
Dalam satu serangan terburuk, sebutir peluru berpandu mengena sebuah rumah di bandar selatan Khan Yunis, menyebabkan tujuh maut.
Susulan itu Hamas mengeluarkan amaran yang seluruh rakyat Israel akan menjadi sasaran tindak balas.
Tidak lama kemudian media Israel pula melaporkan sebuah roket terkena sebuah rumah di Baitul Maqdis, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas dalam reaksinya menuntut Israel segera menghentikan serangan ke atas Gaza .