Serangan berulang Israel ke atas hospital Gaza penghinaan terhadap kemanusiaan - Hamas
Astro Awani
November 24, 2024 08:15 MYT
November 24, 2024 08:15 MYT
GAZA: Hamas pada Sabtu mengutuk serangan berulang Israel ke atas Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, dengan menyifatkannya sebagai "penghinaan yang memalukan terhadap kemanusiaan dan norma antarabangsa".
Dalam satu kenyataan, kumpulan pejuang Palestin itu meminta masyarakat antarabangsa untuk mengenakan 'sekatan tegas' ke atas Israel.
Hamas mendakwa tentera Israel melakukan "genosid secara sistematik" di utara Gaza, termasuk "serangan berturut-turut ke atas Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia".
Kumpulan itu turut mengecam "kempen genosid, pembersihan etnik dan pengusiran paksa terhadap orang awam di utara gaza, serta taktik kebuluran yang menyasarkan dua juta penduduk di wilayah itu" yang dilakukan Israel secara berterusan.
Hamas sekali gus meminta masyarakat antarabangsa untuk "melaksanakan langkah-langkah menghukum terhadap pihak Israel bagi menghentikan pencerobohan dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan".
Terdahulu pengarah hospital berkenaan, Dr Hussam Abu Safiya, menyifatkan serangan pada Jumaat lalu itu sebagai "satu lagi episod hitam dalam siri pengeboman berterusan".
Serangan berlangsung dari tengah hari hingga tengah malam itu menyasarkan "kawasan penerimaan kecemasan, pintu masuk, kawasan lapang serta generator" sehingga menyebabkan 12 kecederaan, termasuk dalam kalangan doktor, jururawat dan kakitangan pentadbiran.
Israel melancarkan serangan ke atas Gaza sejak Oktober tahun lalu yang meragut lebih 44,000 nyawa di mana kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 104,000 mangsa.
Khamis lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengumumkan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas Gaza.