Serangan bersiri Paris: Apa yang diketahui setakat ini
Kohilah Sekaran, Madiha Abdullah
November 15, 2015 17:00 MYT
November 15, 2015 17:00 MYT
Seluruh dunia berkongsi kesedihan dengan insiden serangan di bandar raya Paris, Perancis pada malam Jumaat yang mengorbankan lebih daripada 120 nyawa.
Skala tragedi itu disifatkan ramai sebagai bencana kemanusiaan apabila ratusan nyawa menjadi mangsa kepada situasi keganasan dan motif yang tidak jelas tujuannya.
Kronologi yang disediakan di bawah ini adalah mengikut waktu Malaysia. Mari kita lihat apa yang diketahui setakat ini:
Polis Perancis dengan perisai berbaris di sekitar dewan konsert Bataclan. - Foto REUTERS/Christian Hartmann
AHAD (15 November 2015)
3:35 petang: Menurut laporan media Perancis, enam orang telah ditahan bagi bantu siasatan pihak polis terhadap insiden serangan di Paris.
3.30 petang: Kebanyakan daripada mereka yang terperangkap dalam serangan Paris sedang menerima rawatan rapi di hospital-hospital sekitar ibu negara Perancis.
3.00 petang: Menurut Daily Mail, abang dan ayah penyerang, Omar Mostefai dan seorang wanita yang tidak dikenali berada dalam tahanan polis.
2.00 petang: AFP melapor polis Belgium telah menahan beberapa orang yang dipercayai terlibat dalam serangan Paris, termasuk seorang suspek yang berada di ibu negara Perancis ketika serangan itu berlaku.
11.01 pagi: 352 orang cedera, 99 orang berada keadaan kritikal. Mangsa dikenalpasti daripada 15 negara yang berlainan.
11.00 pagi: Penyerang pertama dikenal pasti sebagai Ismail Omar Mostefai oleh media Perancis. Warga Perancis berusia 29 tahun itu dikenal pasti dari jarinya yang ditemui di dewan teater Bataclan, lokasi paling berdarah dalam serangan itu.
10.30 pagi: Beberapa pelancong dikenal pasti. Antaranya ialah dari Britain, Chile, Morrocco dan Mexico.
10.00 pagi: Serangan dahsyat berlaku di Dewan Bataclan, di mana sekurang-kurangnya 89 orang terbunuh, termasuk tiga penyerang.
8.00 pagi: Portal Daily Mail melapor bahawa dua warga Mexico terkorban dalam serangan tembakan pada malam Jumaat itu.
7.36 pagi: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu keganasan dan ekstremisme ganas akan menjadi satu daripada fokus utama Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) berikutan serangan di Paris pada malam Jumaat.
7.00 pagi: Kumpulan rock Amerika, Foo Fighters membatalkan konsert jelajah mereka di Eropah.Kumpulan itu sepatutnya mengadakan konsert LIVE di Paris pada malam Isnin.
6:15 pagi: Menurut jurucakap pejabat pendakwa Paris kepada Associated Press, ahli keluarga salah seorang penyerang warga Perancis telah ditahan hari ini.
6.10 pagi: Timbalan Pengarah mingguan Perancis, le Nouvel observateur, Pascal Riche, memuat naik infograpik yang menunjukkan serangan dahsyat dalam sejarah Perancis di laman Twitternya.
(Merah = kematian | hijau = cedera)
6.00 pagi: Portal Paris Match mengeluarkan sebuah rakaman video yang menunjukkan pertukaran tembakan antara pasukan keselamatan Perancis dengan kumpulan bersenjata di Dewan Bataclan.
4.15 pagi: 24 jam selepas serangan bersiri di Paris, masyarakat di seluruh dunia berhimpun sebagai tanda hormat kepada mangsa-mangsa serangan Paris.
Beberapa mercu tanda kebangaan negara diterangi cahaya bendera Perancis, iaitu merah,putih dan biru sebagai tanda berkabung.
4.00 pagi: Seorang suspek yang disyaki bertanggungjawab dalam serangan Paris dipercayai telah memasuki Eropah menerusi Greece, lapor sumber-sumber kerajaan Greek kepada Reuters.
3.00 pagi: Menurut Kementerian Kebudayaan dan Komunikasi Perancis dalam satu kenyataan, beberapa Muzium utama di sekitar Paris akan ditutup pada hari Ahad.
2.05 pagi: Menurut laporan Reuters, polis menutup stesen bawah tanah Champ de Mars RER, yang terletak berhampiran Menara Eiffel.
2.00 pagi: Guardian melapor bahawa pemain bola sepak pasukan Perancis, Lassana Diarra telah mendedahkan bahawa sepupunya, Asta Diakite, terbunuh dalam serangan di Paris malam Jumaat.
2.00 pagi: Reuters melaporkan bahawa kawasan di sekitar Menara Eiffel telah dikosongkan, dengan kawalan keselamatan yang ketat oleh polis di sekitar hotel Pullman.
7.40 pagi: Associated Press melaporkan berlakunya kejadian tembakan di sebuah restoran di paris dan beberapa orang dilaporkan maut sekitar tengah malam waktu tempatan. Turut dilaporkan adalah letupan di luar Stadium Nasional Stade de France. Perlawanan antara Jerman dan Perancis sedang berlangsung dan Presiden Perancis, François Hollande di stadium dibawa keluar.
Di media sosial, netizen menggunakan hashtag #porteouverte untuk kongsi maklumat tentang tempat perlindungan yang selamat.
8.15 pagi: The Guardian melaporkan kejadian tembakan di sebuah bar dan Dewan Bataclan.
8.20 pagi: Tebusan ditahan di Bataclan.
8.45 pagi: Perlawanan di Stadium Stade de France tamat, namun pemain dan 80,000 penonton tidak dibenarkan keluar.
Seorang anggota polis Perancis membantu salah seorang mangsa serangan yang cedera di luar dewan Bataclan. - Foto REUTERS/Philippe Wojazer
9.10 pagi: Pihak berkuasa mengeluarkan arahan agar penduduk tidak keluar rumah.
9.30 pagi: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengutuk serangan berkenaan.
9.35 pagi: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Keadilan merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengutuk serangan itu.
9.40 pagi: Darurat diisytiharkan di Paris oleh Presiden Perancis, François Hollande.
10.00 pagi: Reuters melaporkan angka kematian mencecah 100.
10.10 pagi: The Guardian melaporkan beberapa lagi letupan kedengaran di Bataclan, dan kira-kira 60 orang tebusan sedang ditahan di dalam dewan.
10.35 pagi: Facebook lancarkan Pengesahan Keselamatan Serangan Paris (Paris Terror Attacks Safety Check), membolehkan pengguna yang berada di bandar raya itu membuat check-in, sekali gus mengesahkan status mereka, sama ada bebas ancaman atau tidak.
10. 44 pagi: Perkongsian pengalaman oleh rakyat Malaysia di Paris.
10.45 pagi: Polis menyerbu masuk ke dalam Dewan Bataclan.
11.00 pagi: The Guardian melaporkan saksi melihat tebusan mula dibebaskan.
11.30 pagi: Operasi di Bataclan tamat dan dua penyerang mati.
12.10 tengah hari: Enam lokasi serangan disahkan; Dewan Konsert Bataclan, Stadium Stade de France, Restoran Jepun Rue de Charonne, Restoran Kemboja Petit Cambodge, Boulevard Voltaire dan Restoran pizza Casa Nostra.
12.20 tengah hari: Angka korban setakat ini disahkan lebih daripada 120 orang.
Rakaman video amatur suasana panik di Paris sejurus serangan.
7.00 malam: Reuters melaporkan bahawa militan IS telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya bertanggungjawab dalam serangan berkenaan yang mengejutkan orang ramai di enam lokasi berbeza di Paris.
9.00 malam: Pasport Syria telah ditemui berhampiran mayat salah seorang penyerang.
9.00 malam: Rakyat Malaysia di Perancis terutamanya di Paris dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan siri serangan di kota raya itu.
12.00 tengah malam: Seorang warga British yang terbunuh dalam serangan Paris dikenal pasti sebagai Nick Alexander. Beliau merupakan petugas band Eagles of Death Metal yang sedang membuat persembahan di Bataclan ketika serangan pada malam Jumaat