Serangan bersenjata ragut 21 nyawa di Plateau, Nigeria

Bernama
Jun 14, 2023 05:20 MYT
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, serangan bersenjata menjadi ancaman keselamatan utama di wilayah utara dan tengah Nigeria, menyebabkan kehilangan nyawa dan penculikan. - Gambar hiasan
ABUJA: Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dalam insiden serangan bersenjata di Plateau, di Nigeria baru-baru ini, kata seorang pegawai pada Selasa, lapor Xinhua.
Gabenor Plateau, Caleb Mutfwang, berkata dalam satu kenyataan, serangan berlaku di kawasan kerajaan tempatan Riyom dan Barkin Ladi di negeri itu pada Ahad, turut menyebabkan ramai lagi cedera.
Mutfwang berkata motif serangan oleh lelaki bersenjata itu tidak dapat dipastikan dan beliau berikrar untuk menangani peningkatan kejadian serangan, pembunuhan, penculikan dan isu keselamatan lain yang sedang dialami negeri itu.
"Biar saya memberi jaminan kepada rakyat bahawa kita sedang memperlengkap keselamatan negeri... Dan kita bakal mewujudkan Plateau yang selamat," kata beliau sambil menyeru penduduk tempatan untuk bersatu dalam memerangi ketakselamatan.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, serangan bersenjata menjadi ancaman keselamatan utama di wilayah utara dan tengah Nigeria, menyebabkan kehilangan nyawa dan penculikan.
-- BERNAMA
#Nigeria #serangan bersenjata #plateau #ancaman keselamatan