Serangan belalang juta musnahkan 500 hektar kawasan tanaman di Namibia

Agensi
September 26, 2020 16:55 MYT
Spesies belalang juta bersayap merah yang lazim ditemui di sub-Sahara Afrika, membiak dengan pantas merentasi musim kemarau, hujan dan pertumbuhan semula tanaman. - Reuters
Namibia memasuki fasa terdesak untuk mengawal penularan dahsyat tahun ini, namun bukan pandemik COVID-19 yang dimaksudkan.
Kehadiran kumpulan belalang juta yang menyuramkan langit juga tidak kurang menakutkan. Setakat ini, menurut pihak Kementerian Pertanian Namibia, serangga itu telah memusnahkan 500 hektar kawasan rumput dan tanaman di timur laut negara itu.
Reuters yang memetik kenyataan menterinya Calle Schlettwein melaporkan, sekurang-kurangnya 19 kawasan subur di rantau Zambezi yang bersempadan dengan Zambia, Zimbabwe Angola dan Botswana, telah diserang belalang juta yang membiak-biak sejak Ogos lalu.
Secara keseluruhan, 4,002 kilometer persegi telah ‘ditakluk’ serangga yang sentiasa kelaparan itu, manakala 500 hektar kawasan berumput yang menjadi tempat haiwan ternakan meragut telah musnah.
Negara itu memerlukan kira-kira 30 juta dolar Namibia (RM7.38 juta) sebagai sumber sokongan untuk mengawal penularan tersebut menggunakan kaedah semburan racun.
Beberapa negara jiran yang terjejas dengan dilema sama juga sudah menggunakan kaedah tersebut. Oleh kerana Namibia belum memulakannya, populasi belalang juta dari negara jiran itu telah lari ke Namibia.
Penularan serangga perosak itu susulan kejadian pertama pada Februari lalu. Spesies belalang juta bersayap merah yang lazim ditemui di sub-Sahara Afrika, membiak dengan pantas merentasi musim kemarau, hujan dan pertumbuhan semula tanaman.
TImbalan Pengarah Eksekutif Kementerian Pertanian, Sophia Kasheeta, berkata sumber kewangan yang amat diperlukan itu boleh didapatkan daripada sektor swasta, kerajaan atau ‘sesiapa sahaja yang boleh menyumbang’.
Setakat ini, Pertubuhan Makanan dan Agrikultur adalah antara badan antarabangsa yang menghulurkan bantuan.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran dihadapi pasukan di lokasi terjejas, antaranya kekurangan peralatan, kenderaan dan keluasan kawasan,” ujar Schlettwein.
#belalang juta #bencana alam #namibia #serangga perosak #tanaman musnah
;