Serangan Barcelona: Sepanyol berkabung tiga hari
Astro Awani
Ogos 18, 2017 08:23 MYT
Ogos 18, 2017 08:23 MYT
Seluruh Sepanyol berkabung tiga hari bermula Jumaat susulan serangan di bandar Barcelona yang membunuh 13 orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Perdana Menteri, Mariano Rajoy berkata negara bersatu dan berdiri bersama solidariti untuk Barcelona yang menjadi mangsa terbaharu serangan pengganas di Eropah.
Rajoy juga berkata Sepanyol turut bersama-sama bandar lain di Eropah yang lebih awal dikejutkan dengan serangan pengganas.
Beliau berkata serangan di Barcelona bukan terbatas kepada ancaman terhadap Sepanyol semata-mata, tetapi ia merupakan ancaman global.
Justeru, katanya, jawapan kepada ancaman itu perlu bersifat global.
Serangan di Barcelona itu adalah yang terburuk sejak 2004 apabila pengebom al-Qaeda membunuh 192 orang di stesen kereta api Madrid.